‘Fikir sedalamnya, hukuman cuma gantung atau penjara 40 tahun’

3 hours ago 4

KLANG – Seorang pemuda dinasihatkan agar mempertimbangkan semula hasrat menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasih hamilnya di Sungai Besar, Sabak Bernam dekat sini, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Norliza Othman menasihatkan demikian agar tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, mengetahui terlebih dahulu status representasi yang telah dikemukakan kepada pihak pendakwaan.

Tegas Norliza, ini supaya representasi yang dikemukakannya diteliti pihak pendakwaan termasuk sekiranya terdapat pindaan pertuduhan dibuat atas kesalahan seksyen lain.

“Fikir sedalamnya dan tidak semudah nak mengaku salah kecuali kalau ada pertuduhan pilihan lain. Itu lain. Sekarang ini pertuduhan asal.

“Ada dua hukuman sahaja berdasarkan pertuduhan asal (dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan). Gantung atau hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.

“Seadainya, mahkamah lihat fakta kes dan mendengar keterangan saksi serta sepatutnya hukuman gantung sampai mati, adakah mahkamah boleh terima pengakuan salah kamu?. Sebelum pindaan pun, jika hukuman gantung sampai mati (mandatori), kita tidak boleh terima pengakuan salah awak.

“Kecuali dalam keadaan, kalau pihak pendakwaan membacakan pertuduhan turun charge, itu cerita lain. Justeru, bincang baik-baik dengan peguam,” tegasnya.

Justeru, mahkamah menetapkan 29 September depan sebagai tarikh keputusan representasi di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd. Hirman Ab. Raub.

“Tarikh-tarikh perbicaraan dikekalkan,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding itu, Peguam Muhammad Nor Tamrin menyatakan pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara yang antara lain mengandungi hasrat Muhammad Fakrul menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan asal dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli bagaimanapun memohon tarikh baharu bagi keputusan representasi itu bagi tujuan penyemakan representasi tersebut.

Sepatutnya prosiding hari ini adalah pengurusan akhir kes berkenaan dengan tarikh perbicaraan telah ditetapkan selama 15 hari.

Ini melibatkan minggu pertama perbicaraan kes itu pada 23 hingga 27 Febuari 2026. Ia kemudian diikuti minggu kedua bermula 9 hingga 13 Mac, manakala 30 Mac hingga 3 April tahun sama bagi minggu terakhir perbicaraan.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan dijangka memanggil sehingga 40 saksi.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.

Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.

Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |