PETALING JAYA – Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh atau Blood Moon bermula 10 malam ini hingga 5 pagi esok.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa), fenomena gerhana bulan penuh itu akan berlaku 2.7 hari sebelum bulan berada pada kedudukan yang dekat dengan bumi (perigee) iaitu pada jarak 364,773 kilometer dengan saiz sebanyak 33.4 arc minit.
Katanya, gerhana itu turut dikenali sebagai Blood Moon kerana bulan akan kelihatan berwarna kemerahan semasa fasa gerhana penuh berlaku.
“Fenomena ini akan dapat disaksikan oleh masyarakat di seluruh Eropah, Afrika, Asia, Australia dan New Zealand.
“Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada pada kedudukan di antara matahari dan bulan menyebabkan bayang-bayang bumi menutupi bulan,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.
Selain itu katanya, bulan akan kelihatan berwarna merah atau jingga ketika kemuncak gerhana bulan penuh disebabkan pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi.
“Di Malaysia, bulan berada di atas ufuk sepanjang gerhana berlaku.
“Oleh itu, dalam keadaan cuaca yang baik keseluruhan fasa gerhana dapat dilihat dengan menggunakan mata dan bantuan seperti binokular atau teleskop,” katanya.
Katanya, keseluruhan gerhana kali ini (tidak termasuk fasa gerhana penumbra) akan mengambil masa selama tiga jam 30 minit dan fasa Gerhana Bulan Penuh akan terjadi selama satu jam 22 minit.
Sementara itu, Mysa memaklumkan orang ramai boleh hadir ke lokasi cerapan gerhana bulan penuh yang ditetapkan bagi menyaksikan fenomena berkenaan.
Antara kawasan terlibat ialah di Planetarium Negara, Balai Cerap Permata Pintar, Masjid Alam Impian, Shah Alam dan Balai Cerap Selangor.
Selain itu, Balai Cerap Negeri Sembilan, Masjid Al-Azim di Melaka, Kurau Inn Farmstay di Kuala Kurau Perak dan di Dataran Masjid Putra, Putrajaya.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang Mysa bagi maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE