‘Erra Fazira kata kalau ada pelamin terus naik dah’

4 hours ago 3

PETALING JAYA -“Erra Fazira kata kalau ada pelamin terus naik dah.”

Demikian perkongsian jururias terkenal, Datuk Alha Alfa mengenai maklum balas spontan penyanyi dan pelakon, Erra Fazira berkenaan solekannya pada program Kilauan Emas yang dibanjiri pujian netizen di laman sosial.

Persis bidadari, Alha atau nama lengkapnya Abdul Al Halim Mohd. Al Fadzil berkata, solekan bagi kemunculan Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu dalam program Kilauan Emas semalam adalah berkonsepkan raja sehari.

“Tema pada minggu ini kita bagi aura majlis perkahwinan sedikit untuk Kilauan Emas,” katanya menerusi ruangan kapsyen dalam hantaran tersebut.

Lebih menarik, Alfa mendedahkan pelakon dan penyanyi itu menyukai aura pengantin hasil sentuhannya sehingga berseloroh sudah sedia untuk naik pelamin.

“Erra Fazira kata kalau ada pelamin terus naik dah,” ujarnya.

Sekali gus, gurauan pemilik nama lengkap Fazira Wan Chek, 51, itu menggandakan lagi keterujaan ramai ketika spekulasi berkenaan pernikahannya hangat diperkatakan.

Malah, selain dikatakan mempunyai kejelitaan luar biasa walaupun sudah mencecah usia 50-an, ada dalam kalangan peminat mengusiknya berkenaan hal kahwin.

“Terpaling cantik sangat ni. Majlis kahwin nanti nak ‘look’ macam ni tau,” tulis netizen.

“Cantik. Eh! Kalau ada pelamin ke atau kalau ada pengantin lelaki,” ujar pengikut Instagram lain.

Terdahulu, heboh desas-desus mengenai tarikh pernikahan Primadona Filem Melayu Alaf Baru itu dengan usahawan, Ezwan Zain atau Mr. E yang didakwa semakin hampir iaitu pada Oktober ini.

Ketika diwawancara Kosmo! Online, Erra mengakui meninjau beberapa dewan acara atas pelawaan rakan namun menafikan membuat sebarang tempahan mahupun mengesahkan khabar angin tersebut.

Sebelum ini Erra memaklumkan persahabatan dengan Mr. E yang semakin akrab sekitar awal tahun ini sudah ke peringkat pengetahuan keluarga apabila ibunya bertemu lelaki terbabit.

Mr. E pula mengakui mula menjalinkan hubungan serius dengan ratu cantik berkenaan selepas berkenalan pada Ogos 2024.

Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah tujuh tahun kemudian dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, kini berusia 16 tahun.

Sebelum itu, dia juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berakhir dengan perceraian tiga tahun kemudian tanpa cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |