Dua lelaki didenda buat kacau, ganggu sambutan pesta Songkran

1 day ago 8

PETALING JAYA – Dua lelaki didenda RM300 dan RM350 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kacau ganggu dalam video tular sambutan pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah, Damansara Ahad lalu.

Tertuduh Ng Boo Sheng, 28, didenda RM350 oleh Majistret Farah Azura Mohd Saad manakala rakannya Ch’ng Jin Wei, 27, didenda RM300 oleh Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha yang mana kedua-duanya mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan mereka bersama-sama didakwa melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada orang awam yang berada di Pesta Songkran Festival One sebuah pusat beli belah di Damansara di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pusat beli belah tersebut pukul 11 malam pada 20 April lalu yang didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 290 kanun sama.

Semasa prosiding, peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Boo Sheng merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar minimum, dengan mengambil kira kes ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Kes ini telah memberi kesedaran kepadanya kerana dia ditahan reman selama dua hari,” katanya yang memaklumkan tertuduh turut mengalami kecederaan sehingga menerima beberapa jahitan.

Sementara itu, peguam, Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Jin Wei pula merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda yang rendah kerana mengaku kesal atas perbuatan tersebut selain memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.

“Dia berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dimasa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Athirah Jamalullail dan Lim Leong Hui memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan berebut semasa mengisi air untuk pistol air dipercayai menjadi punca pergaduhan yang berlaku ketika sambutan pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, susulan itu lima lelaki berusia lewat 20-an sehingga 30-an telah ditahan untuk membantu siasatan.

Terdahulu polis menjalankan siasatan berhubung video memaparkan insiden pergaduhan dipercayai berlaku semasa acara pesta air Songkran yang diadakan di pusat beli-belah di Damansara.

Video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Jojo Liew berdurasi 56 saat dikesan pihak polis pada pukul 10 pagi semalam.

Susulan itu, Ketua Polis Balai Damansara telah membuat laporan polis bagi memulakan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |