Dua beradik lemas: Itulah kali terakhir dia sambut hari jadi….

5 hours ago 4

PETALING JAYA – “Beberapa hari sebelum kejadian, dia ada jumpa saya dan minta pinjam duit beberapa kali berjumlah RM752 sebelum menghilangkan diri secara tiba-tiba”.

Demikian kata seorang peniaga bunga dikenali sebagai Nurul, 33, mengenai seorang lelaki yang juga bapa kepada dua kanak-kanak yang lemas di Sungai Linggi, Tanjung Agas, Port Dickson, semalam.

Wanita itu yang berniaga di tepi pantai Klebang, Melaka berkata, dia menyedari bahawa lelaki itu merupakan pelanggan yang sama selepas dimaklumkan oleh adiknya berhubung insiden terbabit.

Katanya, hampir setiap minggu dia bertemu dengan keluarga tersebut sejak bulan lalu sehingga mereka menjadi pelanggan tetap.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa dia ke Melaka setiap minggu bersama keluarganya kerana mempunyai urusan kerja di situ.

“Mereka sangat baik dengan saya dan sering datang beli bunga di sini sehinggalah pada 29 Ogos lalu, lelaki itu mendakwa dia telah dirompak di masjid.

“Dia minta tolong pinjamkan duit. Jadi, saya hanya bersangka baik dan beri wang tunai RM150 kepadanya apabila mengenangkan dua anaknya yang masih kecil,” katanya kepada Kosmo!, hari ini.

Bercerita lanjut, Nurul berkata, lelaki itu kemudian datang kembali ke gerainya pada keesokan hari untuk meminjam wang dengan memberi alasan bagi membawa anaknya ke klinik.

“Saya beri dia lagi RM100 cuma kali ini saya dah mula rasa tak sedap hati. Selepas itu dia minta pula saya buatkan bunga berharga RM250 dan bayarkan kek RM252 untuk hari jadi anak lelakinya.

“Disebabkan saya ada anak lelaki, jadi saya rasa kasihan dan saya buatkan untuk anak dia. Cuma saya tak sangka dan sebak kerana itulah kali terakhir anak lelaki dia sambut hari jadi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nurul berkata, lelaki itu ada memberitahu bahawa dia akan membayar hutangnya pada Selasa lalu, namun tidak munculkan diri sehingga insiden berkenaan berlaku.

Katanya, dia juga sudah membuat laporan dan menyalurkan maklumat berhubung keluarga terbabit di Balai Polis Batang Tiga, Melaka.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan dua kanak-kanak lemas selepas kereta dinaiki menggelongsor ke dalam Sungai Linggi, Tanjung Agas, Port Dickson.

Tragedi berlaku ketika kereta diparkir di tebing sungai dalam keadaan enjin dimatikan, sementara bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.

Susulan itu, polis menahan reman bapa kanak-kanak terbabit dan seorang wanita selama tujuh hari sehingga 11 September ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |