Dr. Azura amal Asmaul Husna, ‘CDA’ untuk hidup tenang

13 hours ago 5

PRIHATIN dengan permasalahan masyarakat berkaitan kesihatan mental, keletihan melampau dari segi fizikal, emosi dan mental (burnout) serta pelbagai isu jiwa manusia membuatkan Dr. Azura Hashim terpanggil untuk berkongsi teknik serta bimbingan untuk hidup lebih tenang.

Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang transformasi diri, kepimpinan dan pembangunan manusia, Dr. Azura, 49, tekad membantu orang ramai untuk menemukan ketenangan, kekuatan dalaman dan hala tuju hidup menerusi pendekatan yang lembut, reflektif dan menyentuh jiwa.

“Saya faham apa yang dirasai oleh mereka di luar sana dengan pelbagai ujian berat kerana saya juga pernah di fasa itu, tetapi saya tidak menyerah dan belajar bagaimana nak hadapinya sehinggalah saya menjumpai teknik-teknik mudah dan ilmu itu saya gunakan untuk membantu orang ramai.

“Gabungan pengalaman sendiri dan pelbagai ilmu yang saya teroka, saya kongsikan kepada orang ramai untuk membantu mereka ‘transform’ dengan mengubah rutin, pemikiran, tingkah laku dan hasilnya hidup lebih tenang,” katanya kepada K-Wanita baru-baru ini.

Wanita berasal dari Klang, Selangor yang sangat suka mendalami ilmu berkata, apabila kita serabut, kita tidak dapat cari punca dan jalan keluar.

Maka, disebabkan itu dirinya yang mempunyai lebih 20 pensijilan di dalam dan luar negara berasa bertanggungjawab untuk memberi bimbingan kepada mereka yang sedang diuji agar kembali tenang dan menemui jalan penyelesaian.

Jurulatih bertauliah HRD Corp itu juga seorang pakar analisis tulisan tangan.

Kepakaran dan sumbangan besar Azura dalam bidang transformasi potensi diri, kepimpinan dan pembangunan manusia telah melayakkan menerima pelbagai anugerah seperti Finalis Wanita Ikon Selangor 2024/2025 serta Tokoh Wanita Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis) pada 2025 dan 2026.

AZURA aktif berkongsi ilmu dengan menjadi penceramah atau melakukan ‘coaching’ secara online mahupun bersemuka dengan menerima undangan dari pelbagai organisasi, kerajaan, syarikat berkaitan (GLC), syarikat korporat, universiti dan tampil di kaca televisyen.

Lebih tertumpu kesihatan mental, komunikasi dan kepimpinan dalam ceramah atau kursus yang dikendalikan, Azura berkata, setiap ilmu yang ditimba diterap terlebih dahulu dalam kehidupannya.

“Setiap ilmu yang saya belajar, saya cuba praktikkan dalam kehidupan dan tengok yang mana sesuai dan berkesan.

“Dari situlah saya faham ada teknik-teknik mudah. Salah satu yang paling besar impaknya ialah berdoa dengan nama-nama Allah atau Asmaul Husna,” kongsinya.

Azura berkata, dia juga membuat program berkaitan Asmaul Husna, vision board atau papan visi dan kelas bedah buku berdasarkan buku yang ditulis.

“Sekarang saya sudah tulis 11 buah buku yang memberi fokus kepada bimbingan kesejahteraan mental, kepimpinan, meningkatkan potensi diri dan latihan. Buku-buku ini juga ditulis bersama suami, Ahmad Firdaus Mahmod, 50,” kata ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Azura banyak melakukan ceramah-ceramah transformasi diri dan kepimpinan kepada masyarakat secara online atau bersemuka.

Sebelum bergiat aktif sebagai penceramah transformasi diri dan penulis buku, Azura pernah bekerja di beberapa syarikat dan institusi pengajian tinggi seperti pensyarah di Universiti Malaya (UM) yang mana dirinya merupakan penerima biasiswa dari universiti tersebut. Selain itu, dia juga pernah bekerja dengan syarikat telekomunikasi di bahagian hartanah.

Bercerita lanjut perjalanan hidupnya, Azura memberitahu, dia pernah berada di fasa yang sangat stres dengan pelbagai ujian hidup sehinggakan hampir meragut nyawanya dan anak dalam kandungan.

“Oleh kerana tahap stres yang tinggi, umur belum 25 tahun tapi saya sudah ada darah tinggi. Ketika mengandungkan anak bongsu, darah saya terlalu tinggi sehingga denyutan jantung bayi terlalu perlahan. Doktor nasihatkan saya berehat kerana bila-bila masa saya boleh rebah.

“Ketika itu saya sedang menyelesaikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pemasaran antarabangsa di UM. Kehidupan sangat stres, banyak benda nak diuruskan sebagai pelajar, ibu dan isteri.

“Syukur Allah bagi saya peluang kedua, saya dan anak selamat. Sejak itu saya mula belajar mengurus emosi iaitu pertama perbetulkan pernafasan, bila serabut jangan panik, tarik nafas perlahan-lahan dan kedua bercakap terus dengan Allah (CDA),” ujarnya yang kini merupakan Pengasas Medipro Ventures Sdn. Bhd. dan Pengasas Bersama Mastery Academy.

Mengamalkan sebutan nama-nama Allah atau Asmaul Husna dalam kehidupan memberi impak yang paling besar.
– Ihsan Dr. Azura hashim

Pesan Azura lagi, kalau dilanda stres atau tertekan emosi, jangan kurung diri dalam rumah, sebaliknya paksa diri keluar pergi ke majlis-majlis ilmu dan bertemu dengan persekitaran orang yang baik-baik.

“Saya masih ingat, ketika hidup terumbang-ambing pada tahun 2016, kawan-kawan mengajak ke majlis ilmu dan di situlah saya mula kenal dan jatuh cinta dengan Asmaul Husna.

“Saya suka sebarkan Asmaul Husna kerana dengan mengamalkan nama-nama Allah ini kita boleh tukar cara dan corak pemikiran. Insya-Allah hidup lebih tenang dan harmoni.

“Sebagai contoh, jika ada masalah yang datang, kita tak akan panik kerana kita sandarkan diri 100 peratus dengan Allah. Kita CDA dengan Allah menerusi penghayatan Asmaul Husna. Amalkan satu nama Allah sahaja kita dah rasa cukup ‘deep’ dan yakin bantuan akan tiba,” terangnya.

Wanita berasal dari Klang, Selangor ini menunjukkan sebahagian buku karyanya berkisar transformasi diri, kepimpinan dan sebagainya.

Ujar beliau, pendekatan ini akan mengawal otak supaya tidak cepat panik atau serabut kerana kita bersandar pada Yang Maha Kuasa dan bukan pada diri sendiri hamba yang lemah.

“CDA dengan penghayatan Asmaul Husna sangat dekat dengan kehidupan dan pelbagai urusan seharian. Sebagai contoh, Ya Allah Ya Barii’ (Maha Mengurus), hari ni saya ada mesyuarat tolong detikkan baju mana yang sesuai atau Ya Allah Ya Fattah (Maha Membuka) bukakan jalan atau parking untuk saya.

“Untuk menguasai hafalan Asmaul Husna adalah sebut satu-satu bersama makna agar kita benar-benar faham dan mudah tertanam di dalam minda,” katanya yang juga mengasaskan Rumah Ngaji Medina yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Bercerita mengenai Rumah Ngaji Medina, Dr. Azura memberitahu, ia bermula pada tahun 2016, setelah beliau aktif pergi ke majlis-majlis ilmu dan direzekikan ‘berjumpa’ dengan Asmaul Husna, beliau mendapat ilham untuk membuka rumah ngaji itu bagi menyebar luas nama-nama Allah agar lebih ramai mendapat manfaat.

“Saya memanggil asatizah-asatizah mengajar ilmu agama dan kelas saya buka kepada semua orang percuma sahaja. Saya terkejut dengan sambutan luar biasa kerana peserta yang hadir bukan saja dari Shah Alam tetapi juga sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Selain itu, saya juga adakan majlis ilmu secara percuma di rumah saya di Shah Alam,” katanya yang berpegang kepada ayat ‘perah sebelum pergi’, maksudnya selagi bernyawa kita kena perahkan segala ilmu dan kebaikan untuk ummah.

Ditanya kejayaan yang dikecapinya hari ini, Azura berkata, sebagai isteri, ibu, penceramah dan penulis buku, semua ini tidak akan dapat digalas dengan lancar tanpa ada sistem sokongan yang kuat daripada pasangan, ibu bapa dan keluarga serta Allah yang mempermudahkan urusan.

“Bangun pagi mulakan dengan Allah dulu, semua yang lain-lain akan berjalan dengan baik,” katanya yang turut memegang prinsip menjaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan manusia.

Read Entire Article
Pertanian | | | |