Pasukan, penari saya semua wanita bertudung – Syasya Rizal

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Menjaga batas, penyanyi Syasya Rizal memilih untuk bekerja dengan pasukan yang terdiri daripada wanita sejak mengambil keputusan berhijab sekitar dua tahun lalu.

Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkata, keputusan itu dibuat atas keselesaan diri selain memastikan penampilannya selari dengan imej yang dibawa ketika ini.

“Saya selesa begini dan kalau perasan, seluruh pasukan yang melengkapkan urusan kerjaya saya sekarang kesemuanya perempuan termasuklah jurusolek.

“Sebelum ini ada pula orang komen kerana menyangka jurusolek saya lelaki. Tidak. Selepas berhijrah, saya hanya dikelilingi ‘team’ wanita. Itu pilihan saya sendiri.

“Namun, jangan salah sangka, kalau soal bekerja bersama komposer, sudah tentu ada lelaki tetapi itu semua dengan keberadaan suami saya,” katanya selepas pelancaran single baharu, Different di Universal Malaysia, hari ini.

Ibu kepada dua anak itu juga berharap dapat terus mengekalkan imej berkenaan andai berpeluang membawakan lebih banyak karya yang bergenre pop pada masa akan datang.

“Kalau ada lagi karya bergenre pop seperti ini memang saya nak kekalkan imej di mana sesiapa yang bekerja dengan saya mesti bertudung, maksudnya ahli pasukan seperti penari.

“Secara tidak langsung ia juga tunjukkan hijab tidak mengekang seseorang daripada mengecapi apa yang dimahukan,” ujarnya.

Kata Syasya lagi, persepsi segelintir individu yang menganggap tudung sebagai beban atau penghalang mencapai kejayaan perlu diperbetulkan.

“Mungkin ada pihak di luar sana menganggap hijab sebagai satu bebanan, sebenarnya tidak. Tudung bukan satu bebanan atau penghalang kepada kejayaan anda.

“Itu semua pendapat masing-masing. Macam saya cakap, lagu ini bawa imej Syasya yang orang kenal tetapi kini dalam fasa berbeza.

“Walaupun sekarang sudah bertudung, ia tidak menghalang saya untuk melakukan perkara yang minat terutama beraksi di pentas,” katanya.

Sementara itu, mengenai lagu ciptaannya sendiri bersama Amirul Azhar, Asyraf Nasir, Adib Hamdi serta Naim Daniel, ulasnya karya tersebut lahir untuk memperkenalkan identitinya sebagai artis solo.

“Different merupakan penanda aras penting buat saya dengan penampilan yang lebih matang, yakin serta berdikari.

“Ini juga mesej pemerkasaan bahawa setiap individu berhak mengejar impian tanpa perlu bersaing atau membandingkan diri dengan orang lain,” katanya.

Terdahulu, sekitar 2024 Syasya mengumumkan keluar daripada kumpulan Dolla secara tiba-tiba, sebelum mendedahkan mahu mendirikan rumah tangga.

Lebih setahun meninggalkan arena seni suara, dia kemudian menghasilkan lagu sempena Aidilfitri berjudul Inikan Hari Raya pada Mac lalu, sekali gus menjadi petanda kebangkitan kerjaya muziknya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |