Penunggang basikal maut: Jenazah Syazwan Zharif diterbangkan ke Kuching

9 hours ago 6

PUTRAJAYA – Jenazah salah seorang penunggang basikal yang maut dirempuh kereta, Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, dijadualkan diterbangkan ke Kuching, Sarawak pada pukul 6.25 petang ini untuk dikebumikan di sana.

Menurut isterinya yang mahu dikenali sebagai Shaqira, 30, proses membawa pulang jenazah suaminya akan dibantu oleh Rumah Anak Sarawak termasuk dalam aspek penerbangan.

“Selepas kami mengetahui kejadian itu, ibu saya menghubungi Rumah Anak Sarawak (untuk bantuan). Jadi, semua urusan, Rumah Anak Sarawak akan uruskan.

“Jenazah akan diterbangkan ke Kuching pada pukul 6.25 petang dan akan dijangka dikebumikan sekitar pukul 9 hingga 10 malam selepas urusan kargo selesai,” katanya kepada Kosmo! di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya di sini tadi.

Terdahulu, jenazah Syazwan Zharif telah dituntut waris kira-kira pukul 2.08 petang untuk dibawa pulang ke Kuching selepas proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kali terakhir beliau berjumpa suaminya, Shaqira berkata, pertemuan itu berlaku kira-kira pukul 8.30 malam semalam sebelum arwah keluar untuk berbasikal.

“Suami suka berbasikal dan sering berlatih untuk persediaan menyertai acara Powerman Malaysia dan Lekas Ride 2026 nanti. Kedua-dua mereka (mangsa) memang suka berbasikal bersama-sama termasuk pada waktu hujung minggu dan waktu malam.

“Sepatutnya semalam mereka berlatih beramai-ramai juga, tetapi hanya mereka berdua sahaja yang berbasikal untuk persiapan Lekas Ride 2026,” katanya.

Menurutnya lagi, suaminya juga merupakan seorang mempunyai ramai kawan berikutan sikapnya yang ceria, periang dan ramah dengan semua orang.

Katanya, beliau juga akan menyerahkan segala urusan kepada pihak polis bagi membuat siasatan lanjut insiden berkenaan yang mengorbankan kedua sahabat baik itu.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, dua penunggang basikal maut akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Persiaran Selatan, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam di Kilometer 9 itu, mangsa, Mohd. Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dipercayai mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum melanggar kedua-dua mangsa. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |