Dikecam terpaling kapten, Yes! Captain Zul Aaryan catat 9.5juta tontonan

9 hours ago 6

PETALING JAYA – Hero dan heroin drama Yes! Captain Zul Aaryan iaitu Jazmy Juma dan Anna Jobling meluahkan rasa syukur apabila drama lakonan mereka mendapat sambutan ramai meski ada yang mengecam.

Drama yang ditayangkan di slot Akasia TV3 itu melabuhkan tirainya semalam dan meraih rating tinggi 9.5 juta tontonan di kaca televisyen.

kesemua pelakon drama arahan Nizam Zakaria itu hadir menyaksikan episod akhir dalam sebuah majlis yang dianjurkan bersama peminat di sebuah hotel, semalam.

Menurut Jazmy atau nama lengkapnya Jazmy Khan Juma Khan, 28, dia tidak menyangka drama itu mendapat sambutan hangat biarpun wataknya kerap dikecam netizen gara-gara sering memakai pakaian seragam juruterbang dalam kebanyakan babak drama tersebut.

“Kami tak pernah meletakkan harapan drama ini akan meletup. Cuma bagi saya secara peribadi, saya sentiasa harapkan drama lakonan saya berjaya mendapat tempat di hati peminat.

“Biarpun ada yang kecam, tetapi mungkin kecaman itu juga yang membantu menaikkan lagi rating drama ini. Saya ada terbaca, tetapi tak ambil hati.

“Soal saya selalu pakai pakaian segaram juruterbang, itu saya tak boleh nak komen apa-apa. Saya cuma mengikut arahan pengarah dan kehendak skrip,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan episod akhir drama Yes! Captain Zul Aaryan, di sini, semalam.

Sementara itu bagi Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 26, dia gembira apabila ssebuah lagi drama lakonannya mendapat sambutan hangat daripada peminat.

“Sewaktu saya mula berlakon drama ini, saya tak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk drama ini mendapat sambutan hangat. Tujuan utama adalah untuk buat penonton dan pembaca novel asal terhibur dengan drama ini.

“Sejujurnya saya pun tak tahu rating drama ini setinggi ini. Saya baru tahu hari ini (semalam). Selama drama ini ditayangkan saya cuma fokus kepada komen-komen daripada peminat dan penonton. Ada yang baik ada juga yang mengkritik. Tetapi saya terima segala kritikan agar dapat memperbaiki mutu lakonan saya di masa hadapan,” jelasnya.

Tambahnya lagi dia berlapang dada dengan setiap komen dan kritikan daripada penonton kerana percaya cita rasa setiap orang berbeza-beza.

“Saya sendiri pun ada drama yang saya suka dan yang tak suka. Jadi saya sangat faham pandangan netizen,” ujarnya.

Drama 30 episod yang turut dibintangi Nafiz Muaz, Daniel Fong dan Natasha Sass itu turut mendapat capaian media sosial sebanyak 1.06 bilion.

Terdahulu sebelum ini drama adaptasi novel karya Wnfhanna itu sering dikritik netizen gara-gara pelakon utamanya iaitu Jazmy Juma dilihat sering memakai pakaian seragam juruterbang setiap masa biarpun tidak bertugas di awan biru. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |