Dividen KWSP dijangka lebih baik untuk 2024

2 weeks ago 19

PUTRAJAYA- Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka menerima pulangan dividen lebih baik bagi 2024 berikutan prestasi memberangsangkan badan kewangan itu pada suku ketiga tahun lepas.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024, pencarum boleh mengharapkan berita baik berhubung agihan dividen berbanding tahun sebelumnya.

“Kalau kita tengok prestasinya sehingga suku ketiga tahun lepas, ia menggalakkan. Sehingga suku ketiga, ia (KWSP) sudah dapat RM57.5 bilion. Lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Oleh itu, Insya-Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividen akan memberangsangkan.

“Namun, saya tidak boleh komen apa dividennya. Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik. Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 3,700 peserta menyertai Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 melibatkan penyertaan daripada kalangan warga MOF dan orang awam.

Sebelum ini, beberapa pakar menjangkakan pencarum KWSP berpotensi menerima dividen lebih tinggi iaitu pada kadar 6 peratus hingga 6.3 peratus pada tahun ini.

KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini.

Untuk rekod, tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 5.5 peratus dan 5.4 peratus masing-masing untuk simpanan konvensional dan simpanan shariah bagi 2023.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 2022 dengan dividen diumumkan ketika itu bagi simpanan konvensional adalah 5.35 peratus dan 4.75 peratus bagi simpanan shariah.

Ia melibatkan pengagihan terkumpul RM57.81 bilion masing-masing RM50.33 bilion untuk simpanan konvensional dan RM7.48 bilion lagi untuk simpanan shariah.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |