KUALA LUMPUR – Sebanyak 38.3 peratus atau 2.85 juta daripada 7.44 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap Simpanan Asas setakat 31 Julai lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peratusan itu meningkat berbanding 30.4 peratus pada Disember 2022 selepas impak pengeluaran berkaitan pandemik Covid-19.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, kaum bumiputera mencatatkan seramai 1.38 juta orang, Cina (1.22 juta), India (214,000) dan kaum lain-lain (38,000).
“Pertambahan tahap simpanan asas yang tinggi dalam kalangan ahli aktif formal lebih mencerminkan situasi sebenar kerana mereka merupakan sebahagian daripada tenaga kerja formal yang sedang bekerja dan mencarum,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd.Hasbie Muda tentang jumlah pencarum skim KWSP berdasarkan kaum yang berusia melebihi 55 tahun dan mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi usia bersara.
Amir Hamzah menerangkan, antara faktor menyebabkan tahap simpanan ahli KWSP rendah kerana kesan daripada beberapa siri pengeluaran khas yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.
Menurutnya, langkah itu membantu meringankan beban kewangan ahli pada waktu tersebut, tetapi menjejaskan kedudukan simpanan persaraan mereka yang kini masih dalam proses untuk dibina semula.
Justeru, katanya, tumpuan akan diberikan oleh KWSP dalam usaha membina semula simpanan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan.
Dalam pada itu, katanya, Ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun boleh memilih untuk mengeluarkan dana persaraan secara sebahagian, berkala atau pengeluaran penuh.
Bagaimanapun, ujar beliau, baki simpanan persaraan ahli KWSP yang telah mencapai umur 55 tahun tidak sesuai dijadikan ukuran sebagai mencukupi untuk tujuan persaraan.
“Pengukuran lebih sesuai bagi tahap kecukupan simpanan ahli KWSP adalah pencapaian simpanan asas mengikut umur pada fasa pengumpulan iaitu sebelum ahli boleh membuat pengeluaran bagi tujuan persaraan apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE