IPOH – Negara perlu menumpukan usaha terhadap kemajuan digital serta cabaran menghadapi kesan tarif Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, walaupun begitu, masih ada yang kerap membicarakan isu perkauman tanpa menghiraukan cabaran sebenar Malaysia.
Beliau malah meluahkan kekecewaan apabila kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kurang mengangkat idea kepentingan masa depan.
“Jangan digugurkan dengan celoteh-celoteh seperti di Ayer Kuning. Sekarang kita bercakap soal digital, AI, negara terancam dengan tarif. Kini ada kekuatan baharu untuk melatih anak-anak kita. Kemahiran, kecekapan dan kepintaran baharu dalam kejuruteraan, AI.
“Tetapi yang dibicarakan soal takut Kristian, Cina telan kita, DAP ini hantu. Ini tidak akan selesai.
“Saya tidak menyatakan kita tidak boleh bicara, boleh. Tetapi lihat masa depan. Pandang kepentingan anak-anak kita,” katanya semasa majlis sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat negeri Perak yang dihadiri kira-kira 15,000 pengunjung, di sini malam tadi.
Anwar berkata, isu yang dihadapi orang Melayu bukanlah disebabkan bangsa lain tetapi oleh kerana masalah kepimpinan.
“Pimpinan harus bersih, pimpinan harus tegas, pimpinan harus berwibawa. Kalau kita berwibawa, tak berani orang ganggu kita. Tetapi kalau kita lembap, mudah korup dan mudah dibeli. Tak perlu ada hantu pun kita akan tewas” katanya.
Katanya, beliau mengakui Malaysia menerima kesan akibat pelancaran dasar baharu tarif oleh Presiden AS, Donald Trump, namun kata beliau, impaknya setakat ini adalah minimum.
Anwar berkata, sejak menjadi Perdana Menteri beliau kerap menjalinkan hubungan dengan pelbagai negara bagi meningkatkan jaringan ekonomi dan perdagangan dengan memberi contoh hasil kejayaan syarikat kereta Malaysia, Proton untuk mengeluarkan produk di Mesir. – KOSMO! ONLINE