KUALA LUMPUR – Konglomerat global, Bin Zayed International Group (BZI) mengumumkan komitmen untuk membiayai pembangunan kilang penapis bahan api penerbangan lestari (SAF) di Pelabuhan Klang dengan kerjasama syarikat pengurusan sisa tempatan, FatHopes Energy yang dianggarkan menelan belanja AS$500 juta (RM2.19 bilion).
Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Berhad, Datuk Seri Shamir Kumar Nandy berkata, pihaknya juga sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan sebahagian daripada pegangan dalam Fat Hopes Energy.
“Jangkaan atau anggaran jumlah yang akan diperlukan supaya kilang penapisan ini siap adalah kira-kira AS$500 juta.
“Komitmen kami adalah untuk menanggung keseluruhan pelaburan bagi pembinaan kilang penapisan, dan perjalanan projek ini akan menentukan penyertaan (ke dalam FatHopes Energy) dari segi ekuiti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini, sempena pemeteraian kerjasama strategik antara kedua belah pihak.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.
SAF adalah bahan api alternatif yang dihasilkan daripada sumber boleh diperbaharui dan Lestari, direka untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor penerbangan.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FatHopes Energy, Vinesh Sinha berkata, projek berkenaan buat masa ini masih dalam peringkat kebolehlaksanaan, dengan keputusan pelaburan akhir (FID) disasarkan pada pertengahan tahun 2026, dan operasi komersial pada 2029.
Jelasnya, kapasiti pengeluaran disasarkan pada 300,000 metrik tan dan untuk itu, pihaknya memerlukan bahan mentah sekitar 330,000 tan, yang kebanyakannya daripada minyak sisa bukan sahaja dari sumber domestik, malah melangkaui rantau Asia Tenggara.
“Saya fikir cabaran terbesar adalah dari segi teknikal, banyak bahan input diperlukan seperti hidrogen dan nitrogen yang bakal menjadi bahagian utama dalam proses pembuatan.
“Berhubung penggunaan (SAF), kami berharap semuanya akan digunakan di Malaysia dan sekiranya mandat 47 peratus itu benar-benar berlaku (sasaran campuran SAF menjelang 2050, berdasarkan Rangka Kerja Peralihan Tenaga Kebangsaan) kita dapat melihat kesemuanya digunakan secara domestik.
“Namun ia akan mengambil masa, jadi kami percaya buat permulaan, sebahagian daripadanya akan dieksport,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE