KUALA LUMPUR – Selepas mengesahkan sudah bercerai, pelakon Aprena Manrose mengakui tidak membuka pintu hati untuk kembali berumah tangga dalam masa terdekat.
Aprena atau nama lengkapnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 33, mendedahkan hasratnya untuk berehat seketika daripada fasa percintaan demi memberi ruang kepada diri sendiri mencari ketenangan dan kebahagiaan hakiki.
“Saya bercinta dari usia 18 tahun dan berkahwin pada usia 23 tahun. Jadi ini adalah masa untuk saya berehat dan sayangi diri sendiri serta lebih fokus pada diri.
“Penat sebenarnya, kalau boleh saya mahu rawat luka dulu,”katanya kepada Kosmo! Online yang ditemui pada program Rakaman Raya Melodi 2026, di sini, baru-baru ini.
Meskipun ada pihak cuba mendekati, Aprena mengakui wujud sekelumit perasaan trauma yang membuatkannya lebih berhati-hati dalam menapis sebarang perkenalan baharu.
“Adalah sedikit trauma, rasa macam nak kena tapis. Ada yang nak berkawan dan terus serius. Mereka nak ajak saya kahwin sebab katanya umur saya bukan muda lagi.
“Tapi seperti yang saya katakan, beri saya masa dua tiga tahun.
“Saya nak solo dulu sebab penat sebelum ini fikir pasal pasangan pun tak habis lagi, jadi saya nak dahulukan perasaan sendiri,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, anak kepada penyanyi dangdut, Iwan Syahman itu sempat berkongsi kerisauan yang pernah terlintas di fikirannya mengenai status sebagai janda sebelum ini.
“Jujurnya saya tak rasa lepas cerai akan ada lagi lelaki yang sudi dengan saya. Saya selalu tertanya, ada lagi ke orang yang nak dekat janda.
“Rupanya telahan saya meleset kerana ramai yang cuba mendekati, hanya saya yang belum bersedia untuk serius,” katanya lagi.
Pada Jun lalu, Aprena mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suami, Mohd. Afiq Hazman.
Keretakan rumah tangga Aprena kerap menjadi bahan bualan ramai terutama selepas mereka dilihat tidak meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu bersama.
Mereka juga dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada 12 November 2016. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
7
![[VIDEO] Moga pencuri dapat hidayah – Anak mangsa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-9.15.11-PM.jpeg)


![[VIDEO] ‘Fatin, kuruslah kau raya ni’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-6.27.49-PM.jpeg)













































