Bawa mudarat, juri perintah Meta, YouTube bayar pampasan hampir RM24 juta

18 hours ago 10

LOS ANGELES  – Panel juri  di Los Angeles semalam mendapati Meta dan YouTube bertanggungjawab mendatangkan mudarat kepada seorang gadis disebabkan reka bentuk platform media sosial itu mengakibatkan ketagihan dan memerintahkan dua syarikat tersebut membayar pampasan AS$6 juta (RM23.9 juta), termasuk AS$3 juta (RM11. 9 juta)  ganti rugi punitif.

Keputusan itu memberikan kelebihan ketara kepada plaintif ketika lebih seribu kes serupa sedang menunggu keputusan.

Juri yang menjawab ‘ya’ kepada semua tujuh soalan pada borang keputusan untuk kedua-dua syarikat, mendapati Meta dan YouTube cuai dalam reka bentuk serta operasi platform masing-masing dan kecuaian tersebut signifikan dalam menyebabkan kemudaratan kepada plaintif.

Panel juri  juga bersetuju  bahawa Meta dan YouTube sedar atau sepatutnya sedar bahawa platform mereka menimbulkan bahaya kepada kanak-kanak bawah umur dan  gagal memberi amaran mencukupi kepada pengguna tentang bahaya tersebut.

Panel juri menganugerahkan AS$3 juta sebagai pampasan dengan 70 peratus jumlah tersebut atau AS$2.1 juta (RM2.3 juta)  perlu dibayar oleh Meta dan selebihnya YouTube.

Juri juga menambah AS$3 juta lagi sebagai ganti rugi punitif keseluruhan selepas mendapati kedua-dua syarikat bertindak dengan niat jahat, melakukan penindasan atau penipuan.

Meta dan YouTube akan merayu keputusan itu.

“Kes ini adalah salah faham tentang YouTube, platform penstriman yang dibina secara bertanggungjawab dan bukannya laman sosial,” kata jurucakap Google, Jose Castaneda.

Seorang jurucakap Meta pula berkata,  mereka ‘secara hormat tidak bersetuju dengan keputusan itu, sambil menambah, ‘kesihatan mental remaja sangat kompleks dan tidak boleh dikaitkan dengan satu aplikasi sahaja’.

Sembilan daripada 12 anggota juri seterusnya mendapati kedua-dua syarikat telah bertindak dengan niat jahat, melakukan penindasan  atau penipuan dengan keputusan itu membuka laluan untuk ganti rugi punitif  berasingan.

Plaintif  yang dikenali dalam dokumen mahkamah sebagai K.G.M. dan dipanggil Kaley semasa perbicaraan, mula menggunakan YouTube ketika berumur enam tahun  untuk menonton video tentang pengilat bibir dan permainan kanak-kanak dalam talian.

Dia menyertai Instagram pada umur sembilan tahun, dengan memintas sekatan yang telah diletakkan oleh ibunya.

Kaley memberitahu juri bahawa penggunaan media sosial yang hampir berterusan ‘benar-benar menjejaskan nilai dirinya’. Menurut plaintif,  aplikasi itu menyebabkan dia meninggalkan hobinya, sukar mencari kawan dan sentiasa membandingkan diri dengan orang lain. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |