‘Arwah nak selamatkan motosikal, cuba padam kebakaran tetapi gagal’

2 hours ago 2

JITRA – “Arwah cuba selamatkan motosikal dan memadam kebakaran sendirian, tetapi gagal dan dia sempat keluar dari stor tetapi dalam keadaan sudah melecur teruk.”

Demikian kata saksi, Osman Hamzah, 58, berhubung kejadian seorang lelaki, Mohd. Syaiful Akmal Abu Hassan, 37, yang maut dalam kebakaran stor katering di Kampung Pelubang, di sini semalam.

Menurutnya, mangsa dilihat merempuh masuk ke stor itu untuk menyelamatkan motosikalnya bagaimanapun gagal.

“Kejadian berlaku pantas, ketika itu saya berada di tempat kerja kira-kira 50 meter dan terus berlari ke lokasi untuk membantu dan menghalangnya daripada masuk ke dalam stor namun gagal.

“Arwah berlari keluar selepas itu tetapi keadaannya melecur teruk. Mungkin arwah rasa bersalah apabila stor itu terbakar dan cuba memadam  api sendirian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang masih belum berkahwin rebah tidak jauh dari premis itu setelah berjaya berlari keluar.

“Ada orang ternampak kebakaran berlaku di luar stor sebelum merebak dan ketika itu mangsa berada di luar. Terdengar juga letupan sebelum api marak,” ujarnya.

Sementara itu, menurut salah seorang saudara mangsa, Hasnah Ahmad, 61, Allahyarham Mohd. Syaiful Akmal yang juga merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu turut mendiami stor barang katering majikannya itu.

“Memang arwah duduk di stor itu, jaga barang katering bosnya. Arwah seorang yang pendiam namun cekap dalam kerjanya.

“Pada Januari lepas masa anak kahwin, arwah yang menyiapkan khemah kenduri dan menghiasnya,” katanya.

Tambahnya, kehilangan arwah secara mengejut itu amat mendukakan ahli keluarganya.

“Kakak kedua arwah, Jamilah, 54, turut saksikan kejadian kerana rumahnya tidak jauh dari stor itu. Namun mereka reda sebab arwah meninggal dunia hari Jumaat dan dalam bulan Ramadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |