WASHINGTON – Kash Patel mengangkat sumpah sebagai Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang baharu semalam, selepas pelantikannya disahkan Senat, kelmarin.
Ia menjadikan Patel Pengarah FBI kesembilan agensi itu dan akan berkhidmat untuk tempoh 10 tahun, lapor agensi berita United Press International.
Walaupun menjadi salah satu pilihan kontroversi untuk Kabinet Presiden Donald Trump dan menerima tentangan daripada Parti Republikan sendiri, Patel berjaya mendapat kedudukan itu.
“Pempolitikan sistem keadilan kita telah menghakis kepercayaan orang ramai tetapi ia berakhir hari ini.
“Misi saya sebagai Pengarah adalah jelas. Biarkan polis yang baik menjadi polis dan kami akan membina semula kepercayaan orang ramai kepada FB,” katanya yang menerima undian 51-49 daripada ahli Senat.
Patel memberitahu kakitangan pada hari pertama memasuki pejabat bahawa beliau merancang untuk memindahkan kira-kira 1,000 pekerja dari pejabat di Washington, D.C., ke pejabat lapangan seluruh negara. Seramai 500 lagi akan dipindahkan ke kampus FBI Redstone Arsenal di Huntsville, Alabama.
“Keutamaan saya adalah menyokong dan memacu penyiasatan yang lebih berkesan.
“Meningkatkan sumber lapangan dan memperkukuh keupayaan operasi kami adalah cara paling berkesan untuk melindungi rakyat Amerika,” katanya.
Secara keseluruhan, FBI mempunyai kira-kira 38,000 kakitangan, termasuk 13,700 ejen khas.
Patel dilahirkan di New York pada 1980 selepas keluarganya berpindah dari negeri Gujarat, India ke Kanada pada 1970-an di tengah-tengah pergolakan politik di bawah diktator negeri itu, Idi Amin, sebelum menetap di AS.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Staf kepada Pemangku Setiausaha Pertahanan, Christopher Miller semasa pentadbiran Trump sebelum ini. – AGENSI