PUTRAJAYA- Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mula dikuatkuasakan hari ini memanfaatkan lebih 1.64 juta individu yang terlibat dalam sektor ekonomi itu di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, akta itu merupakan satu langkah penting dalam memastikan pekerja dalam ekonomi gig mendapat perlindungan perundangan asas wajar diperolehi selaras dengan perubahan landskap pekerjaan masa kini.
Menurut beliau, dengan penguatkuasaan Akta 872, individu terlibat dalam sektor tersebut bakal mendapat manfaat melalui perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian, mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas serta perlindungan keselamatan sosial.
“Hari ini, Malaysia melangkah ke hadapan dalam membentuk masa depan dunia pekerjaan di rantau ini melalui penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025.
“Berbanding negara-negara seperti Singapura, Indonesia dan Filipina yang masih memperkenalkan perlindungan pekerja gig secara berperingkat atau terhad kepada sektor tertentu, Malaysia mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dengan memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi melindungi pekerja gig secara komprehensif.
“Pendekatan ini meletakkan Malaysia dalam kelompok negara di Asia yang mendahului usaha memperkenalkan perlindungan undang-undang khusus kepada pekerja gig,” katanya menerusi sidang akhbar penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 di sini hari ini.
Terma pekerja gig merujuk kepada tiga perkara utama iaitu seorang warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia, orang yang membuat perjanjian dengan entiti kontrak sama ada penyedia platform atau tanpa platform dan menerima pendapatan atau bayaran bagi setiap perkhidmatan yang telah diberikan.
Pekerja gig yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan penyedia platform ialah pekerja e-hailing dan p-ehailing, manakala pekerja gig tanpa platform merujuk kepada pekerja gig dari sektor perkhidmatan seperti lakonan, aktiviti perfileman dan muzik, terjemahan, kewartawanan, penjagaan dan lain-lain sepeti yang disenaraikan di bawah jadual kepada akta tersebut.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, penguatkuasaan akta itu juga mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk memastikan kemajuan ekonomi digital bergerak seiring dengan perlindungan dan kesejahteraan pekerja.
Beliau turut menjelaskan bahawa Akta 872 bukan hanya untuk pemandu e-hailing dan penghantar e-hailing sahaja, tetapi turut melindungi pekerja gig tanpa platform yang berada di dalam pelbagai sektor perkhidmatan.
“Saya mengambil maklum ada pihak yang mempersoalkan tentang takrifan pekerja gig di dalam akta ini yang turut meliputi permastautin tetap di Malaysia.
“Akta 872 bukan hanya untuk pemandu e-hailing dan penghantar e-hailing sahaja, tetapi turut melindungi pekerja gig tanpa platform yang berada di dalam pelbagai sektor perkhidmatan.
“Jadi, tiada isu berbangkit yang mengatakan akta ini bertentangan dengan dasar dan perundangan sedia ada kerajaan,” ujarnya.
Ramanan berkata, melalui akta ini, pekerja gig kini mempunyai perlindungan perundangan yang lebih jelas termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, kadar pendapatan yang dipersetujui, larangan diskriminasi, perlindungan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial selain perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Selepas Akta ini dikuatkuasakan, pekerja gig akan kekal bekerja secara fleksibel dan akta ini tidak akan menganggu ekosistem gig itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah melantik seramai 26 anggota Majlis Perundingan Gig (MPGig) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman yang akan berkuat kuasa mulai 1 April. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
7





![[VIDEO] Ratu Nur Puteri Ratu Balqis mengaku dirinya Nabi Muhammad](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-31-at-4.43.26-PM.jpeg)










![[VIDEO] Ucapan 2022 isteri ‘rider’ maut dilanggar pemandu mabuk undang sebak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-30-at-2.53.22-PM-1.jpeg)































