Ajak keluar bersiar-siar sebelum ‘sentuh’ remaja

5 days ago 14

MUAR – Dua rakan yang juga pembantu kedai makan diheret ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar perempuan dalam sebuah kereta ketika mengajak keluar bersiar-siar bulan lalu.

Tertuduh, Iskandar Zulkarnain Dzulkifli, 21, dan Muhammad Firdaus Wiyoso, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Iskandar Zulkarnain berhadapan dua pertuduhan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun dalam kereta ketika perjalanan dari Bukit Pasir ke Seri Tanjung, Bakri, di sini antara pukul 2.30 hingga 4 pagi, 21 Disember lalu.

Manakala Muhammad Firdaus juga didakwa melakukan perkara sama terhadap mansga berusia 14 tahun dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Sungai Abong, di sini, pada tarikh dan waktu yang sama.

Kedua-dua tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan.

Berdasarkan laporan dibuat, kedua-dua tertuduh mengenali dua pelajar terbabit sebelum mengajak mereka keluar bersama-sama.

Ketika dalam perjalanan, kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap dua mangsa yang mana ketika itu seorang daripadanya berada di tempat duduk hadapan manakala seorang lagi di belakang.

Bagaimanapun, kejadian itu terbongkar apabila salah seorang mangsa menceritakan kepada abang mereka lalu membuat laporan polis.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 seorang namun hanya Muhammad Firdaus membayarnya dan Iskandar Zulkarnain dihantar ke Pusat Koreksional Muar untuk tahanan sementara.

Selain itu, mahkamah juga mengenakan syarat tambahan yang mana tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 16 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam kedua-dua tertuduh.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |