Ahli Parlimen cadangkan `busker’ pakai baju batik, dibayar royalti

2 weeks ago 17

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mencadangkan seniman jalan khususnya `busker’ memakai pakaian cantik seperti batik semasa membuat persembahan.

Menurutnya, beliau mendapati kebanyakan `busker’ terutama di kawasan bandar raya memakai pakaian kurang cantik ketika membuat persembahan di tempat tumpuan ramai.

“Saya cadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ambil `busker’ sebagai anak angkat dan pakaikan mereka dengan pakaian cantik seperti batik dan sebagainya.

“Saya juga cadangkan bayaran royalti kepada mereka kerana menceriakan dan menghiburkan orang ramai termasuk pelancong. Minta diperluaskan lagi bantuan kepada `busker’ meliputi kota-kota raya selain Kuala Lumpur,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menjawab cadangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut dan pihaknya bersedia mempertimbangkan perkara itu.

“Umpamanya pakaian bersih, cantik untuk mempromosikan negara kita. Begitu juga dengan cadangan bayaran royalti, saya kira ini juga boleh diteliti, boleh juga jadi satu pendapatan kepada mereka.

“Saya akan ambil teliti perkara disarankan oleh (Ahli Parlimen) Langkawi dan mungkin boleh dimasukkan dalam dasar hiburan wilayah persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Zaliha berkata, seniman jalanan tidak memiliki permit kerana membuat persembahan di lokasi tidak dibenarkan antaranya di persimpangan jalan, kawasan lampu isyarat, kawasan sesak dan berbahaya atau kawasan kediaman di pusat bandar.

Jelasnya, DBKL menyediakan 16 lokasi strategik sebagai kawasan rasmi bagi aktiviti `busking’ antaranya di zon komersial dan pelancongan seperti Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka, Medan Pasar, River of Life dan Jalan Alor.

“Begitu juga di zon rekrasi dan sosial seperti taman-taman awam dan medan selera DBKL yang bersesuaian dan setiap lokasi dibenarkan beroperasi antara pukul 9 pagi hingga 12 malam bergantung kepada jenis persembahan dan kesesuaian kawasan tersebut.

“Jabatan Wilayah Persekutuan akan mengadakan sesi temu rapat bersama pengiat seni pada suku tahun kedua ini bagi mendapatkan input awal sebelum dating dengan dasar hiburan wilayah persekutuan yang kita akan rangka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |