JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 223 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja tanpa permit dan pas yang sah di sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia terbesar di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, di sini Selasa lalu.
Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua PATI ditahan dalam Ops Mahir masing-masing berusia antara 21 hingga 63 tahun.
Menurutnya, kejayaan operadi itu adalah hasil risikan pihaknya selepas menerima maklumat awam mengenai kewujudan lambakan warga asing yang bekerja tanpa permit atau pas yang sah di lokasi tersebut.
“Seramai 664 warga tempatan dan warga asing telah diperiksa. Tangkapan dibuat melibatkan 129 lelaki warganegara China, wanita China (4), Bangladesh (84) dan masing-masing dua lelaki Indonesia, Pakistan serta Nepal.
“Turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang merupakan Pengurus dan Pegawai Sumber Manusia di tapak projek tersebut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, kesemua mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Selain itu, mereka turut melakukan kesalahan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Manakala dua orang warga tempatan ditahan dibawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.
Sebanyak 6 Notis untuk hadir di Pejabat Bahagian Penguatkuasa dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan,” katanya.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE