PUTRAJAYA- Komuniti pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) dari seluruh negara dijangka berhimpun dalam acara berskala besar menerusi penganjuran Event Truck Fighter & Meet Show 2.0 di Maeps, Serdang pada 20 Jun depan.
Program anjuran Zaki GM Garage Sdn. Bhd itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dengan anggaran kehadiran 5,000 pengunjung terdiri daripada peminat 4×4, usahawan bengkel, penggiat industri automotif serta komuniti sukarelawan pacuan empat roda dari seluruh Malaysia.
Menurut kenyataan penganjur, penganjuran acara tersebut bertujuan memperkukuh solidariti komuniti pemilik 4WD yang sering memainkan peranan penting sebagai pasukan sukarelawan barisan hadapan ketika berlakunya bencana alam, khususnya dalam operasi banjir.
“Program berkenaan turut menjadi platform mengeratkan silaturahim serta membina jaringan kerjasama antara usahawan bengkel 4×4 di Selangor dan negeri-negeri lain, sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi industri automotif tempatan.
“Acara ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran edisi pertama yang berlangsung pada Mei tahun lalu di perkarangan Stadium Shah Alam,” katanya hari ini
Katanya, program itu juga bakal disertai beberapa organisasi komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran kenderaan 4×4, pertandingan autoshow dengan 21 kategori, aktiviti off-road, gerai jualan, pameran industri serta cabutan bertuah.
Bagi menambah tarikan, pihak penganjur menawarkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan Isuzu D-Max selain pelbagai hadiah sampingan menarik kepada para peserta.
“Penganjuran kali ini diharap mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti pemilik dan peminat 4WD di Malaysia.
“Ia seterusnya berpotensi memperkukuh peranan komuniti terse but sebagai rakan strategik dalam membantu masyarakat ketika berhadapan situasi kecemasan dan bencana alam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
6
![[VIDEO] Moga pencuri dapat hidayah – Anak mangsa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-9.15.11-PM.jpeg)


![[VIDEO] ‘Fatin, kuruslah kau raya ni’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-6.27.49-PM.jpeg)













































