18 tahun terkandas, serik ‘hidup’ di Lombok

20 hours ago 7

LENGGONG – Ahli keluarga Norida Akmal Ayob, 45, yang berjaya dibawa pulang selepas 18 tahun terkandas di Lombok, Indonesia berharap wanita itu tidak lagi pulang menjalani kehidupan di negara berkenaan.

Sebaliknya, Umi Kalsum Ahmad, 67, berkata, jika niat anak saudaranya itu untuk melancong ia bukanlah satu isu.

“Harapan saya janganlah balik (Indonesia) kerana susah hidup di sana. Kalau sekadar melancong, mungkin boleh tetapi kalau nak menetap di sana, tak payahlah. Hidup di sini (Malaysia) lebih baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong kelmarin.

Norida tiba di Malaysia pada Sabtu lalu setelah 18 tahun menetap di Lombok kerana mengikuti suaminya warga Indonesia bersama anaknya, Nur Fateen Akmadiana, 20, yang ketika itu berusia dua tahun.

Bagaimanapun, Norida berpisah dengan lelaki itu dan terpaksa menjalani hidup bersendirian dalam kesusahan dengan bekerja sebagai tukang sapu.

Norida memiliki dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang dilahirkan di Malaysia, manakala seorang lagi, Muhamad Sabani Daniel dilahirkan di Indonesia.

Usaha membawa pulang Norida dilakukan keluarganya termasuk mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Umi Kalsum berkata, dia gembira kerana usaha membawa pulang Norida yang dianggap seperti anak kandung sendiri membuahkan hasil.

“Saya menerima Norida dengan sepenuh hati dan Nur Fateen Akmadiana pula saya anggap seperti cucu sendiri.

“Gembira sangat bila dia dapat kembali ke kampung kelahirannya. Saya menjaga dia sejak kecil seumpama anak sendiri. Begitu juga anaknya yang kini sudah dewasa. Kali terakhir saya melihatnya kira-kira 18 tahun lalu, ketika itu dia baru belajar berjalan.

“Bagi saya inilah hadiah Ramadan. Saya terima walau macam mana pun kesusahan hidup yang pernah dilaluinya,” katanya.

Umi Kalsum berkata, selama bertahun-tahun mereka hanya berhubung melalui telefon dan Norida sering mengadu tentang kesusahan hidup di Lombok selepas ditinggalkan bekas suaminya yang berkahwin lain. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |