KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sedia mengenepikan hak imej demi lencana di dada bagi mewakili skuad badminton kebangsaan ke saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark pada 24 April hingga 3 Mei depan.
Perkembangan positif itu dikongsikan Team Lee Zii Jia (Team LZJ) menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman X rasmi pasukan tersebut hari ini.
Team LZJ mengalungkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei atas kepercayaan yang diberikan.
“Dengan penuh rasa sukacita, diumumkan bahawa Lee Zii Jia sudah mencapai kata sepakat bersama Persatuan Badminton Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Piala Thomas 2026.

“Zii Jia juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran hak imej bagi mewakili pasukan negara di Piala Thomas. Ini menunjukkan komitmen serta dedikasinya kepada Malaysia,” kata Team LZJ.
Dalam pada itu, Team LZJ juga berharap kepulangan semula Zii Jia ke dalam skuad kebangsaan mampu menjadi permulaan baharu buat dirinya dan BAM selain demi kelangsungan sukan badminton tanah air.
“Kami harap (keputusan) ini menjadi permulaan baharu buat Zii Jia dan BAM untuk sama-sama bergerak ke hadapan demi kepentingan sukan badminton di Malaysia,” ujarnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjadi juara Piala Thomas adalah pada edisi 1992 yang berlangsung di Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2 di perlawanan akhir. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
7









![[VIDEO] ‘Tak hormat netizen tak apa, tapi tolong hormat bulan Ramadan kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-5.09.39-PM.jpeg)







































