PETALING JAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadi menafikan dakwaan pihaknya telah memberi ‘graduate pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh di Malaysia untuk membolehkan mereka bekerja di sini.
Beliau menegaskan bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah Tuduhan adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali.
“Saya menasihatkan beliau (Haim Hilman) agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan berhubung apa-apa isu termasuk yang berkaitan dengan pendidikan tinggi.
“Sebagai penjelasan, semasa lawatan TYT Prof. Dr. Muhammad Yunus baru-baru ini tidak ada sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima 10,000 pelajar Bangladesh bekerja di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, dakwaan bahawa wujud perjanjian sedemikian dan rakyat Malaysia kononnya resah adalah sama sekali tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
“Sebagai seorang berlatarkan akademik, beliau seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta yang benar, tepat, dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat semberono.
“Prinsip akademik menuntut kepada informasi yang berintegriti, bertepatan dan kebenaran.
“Saya ingin menegaskan agar Dr. Haim Hilman tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan menyampaikan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan rakyat,” ujarnya.
Tegas beliau lagi, budaya menghasilkan ‘content’ untuk ditularkan di media sosial dengan fakta yang salah perlu segera dihentikan.
Sebelum ini Haim Hilman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi telah mengeluarkan kenyataan tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru.
Seterusnya potongan kenyataan itu dimuat naik dan dijadikan bahan di platform media sosial beliau.- KOSMO! ONLINE