‘KKM diminta tidurkan Kak Ju, matikan, saya rasa nak gelak’

1 hour ago 1

KUALA LUMPUR – Dibenci netizen gara-gara watak kakak ipar toksik, pelakon Rozita Che Wan menganggap percaturan kembali ke set penggambaran selepas tiga tahun ‘bercuti’ merupakan langkah paling tepat.

Rozita, 51, atau mesra disapa Che Ta mengakui karakter bernama Kak Ju dalam drama bersiri Bahagia Yang Tertangguh menjadi buah mulut penonton yang sakit hati melihat sikap wanita itu mengganggu rumah tangga adik sendiri.

“Penangan watak Kak Ju itu mengembalikan ingatan saya saat melakonkan watak Kiah Pekasam dahulu, cuma bezanya inilah kali pertama saya bawa karakter hitam. Jujur tak sangka kemunculan Kak Ju berbekas di hati penonton.

“Sejak siaran episod awal lagi, berbakul-bakul komen dan kecaman netizen saya terima. Siap pakej makian minta Kak Ju ditidurkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tak kurang juga yang komen minta watak Kak Ju dimatikan segera. Ada juga cakap berdepan bila jumpa saya dengan nada sinis, nak ‘pijak’ Kak Ju,” katanya mengenai drama arahan Osman Ali itu.

Begitupun, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak melihat percikan amarah ramai terhadap watak dijiwai itu sebagai ancaman, sebaliknya penerimaan terhadap mutu lakonannya.

“Dari sudut lain, saya percaya apabila watak itu meninggalkan kesan di hati penonton tak kira positif atau negatif, bererti diri ini sudah memberikan sehabis baik dalam menghidupkan watak Kak Ju sehingga meninggalkan impak.

“Komen dan kecaman sebegitu kalau difikirkan buat saya rasa nak gelak sebab geram punya fasal, mereka (penonton) sampai buat macam-macam terhadap Kak Ju,” katanya.

Pada masa sama, Che Ta berterima kasih kepada produksi iFabulous Art Media & Event Sdn. Bhd (iFame) dan pengarah yang memberi sepenuh kepercayaan kepada menjayakan watak tersebut.

“Mereka berani cabar saya keluar dari kepompong kebiasaan. Ikutkan saya memang lantang bersuara, dengan anak pun tegas cuma mungkin sebelum ini tiada produksi berani buka peluang saya bawakan watak jahat.

“Sampai anak saya berseloroh cakap watak Kak Ju itu macam diri sendiri. Tapi saya di rumah tidaklah sekejam Kak Ju. Malah kawan anak saya di Jerman yang menonton drama ini dalam talian pun terkejut yang mendakwa saya sangat garang, ‘laser’ dan cakap lepas,” ujarnya.

Mengakui menumpang tuah drama siaran Astro Ria yang diadaptasi novel judul sama nukilan Rissa Ahdiya, katanya kerjasama pelakon lain turut membuatkan naskhah terbabit memenuhi selera ramai.

Selain Che Ta, drama 28 episod itu turut menampilkan Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Riz Amin dan Mimi Ernida. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |