KUALA LUMPUR – Peguam isteri kepada ahli perniagaan, Albert Tei memberi tempoh tiga hari sehingga Rabu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan inventori (perincian) harta yang dirampas susulan penahanan suaminya, tiga hari lalu.
Ia antaranya, senarai lengkap dan berbutir setiap item yang dirampas, perihalan penuh dan nombor pengecam (jika ada) bagi setiap item selain nama, pangkat, dan nombor staf pegawai yang menjalankan rampasan; tarikh dan masa rampasan.
Peguam Rajesh Nagarajan berkata, pada masa sama, SPRM turut diberi tempoh yang sama bermula semalam agar mengembalikan segera harta tersebut yang diperoleh ketika serbuan dilakukan di rumah keluarga itu.
Ia bagi mengelakkan tindakan undang-undang seperti semakan kehakiman difailkan terhadap agensi berkenaan.
“Jika tuntutan tersebut gagal dipatuhi dalam tempoh tiga hari, kami akan mengambil tindakan undang-undang tanpa notis lanjut bagi mendapatkan perintah memaksa senarai rampasan dikeluarkan.
Semakan kehakiman itu juga bagi mendapatkan perintah pemulangan mandatori harta yang ditahan secara tidak sah serta pengisytiharan ketidakpatuhan dan ketidakperlembagaan prosedur yang dilakukan SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, SPRM didakwa melakukan serbuan secara paksa di rumah Albert Tei, sebelum menahannya dalam keadaan bergari, awal pagi pada Jumaat lalu.
Menurut peguamnya, Zaid Malek, beliau dimaklumkan bahawa pihak berkuasa membuat pintu masuk paksa ke kediaman tersebut sebelum menahan Albert.
Sejurus selepas ditahan, Albert Tei kemudian dibawa ke mahkamah dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Fatin Muneerah Sofian di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini bermula hari ini hingga Jumaat depan. Seksyen 16 Akta SPRM 2009 adalah mengenai kesalahan menawarkan atau memberi suapan kepada pegawai awam. – KOSMO! ONLINE

59 minutes ago
1



















![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)





























