Papagomo tidak mengaku salah buat hantaran komunikasi palsu

1 hour ago 1

SEPANG- Penulis blog kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu, pada Mei lalu.

Ia berhubung satu hantaran di laman Facebook miliknya yang menyenaraikan nama 11 ahli Parlimen PKR yang didakwa akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Bagaimanapun, bekas Exco Pemuda UMNO itu selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Wan Muhammad Azri didakwa atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook dengan secara sedar, membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk mengganggu orang lain pada pukul 7.32 malam, 28 Mei lalu.

Hantaran tersebut kemudiannya telah dilihat kira-kira pukul 11.45 malam, hari sama di Menara 1 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya dekat sini.

Wan Muhammad Azri didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh di denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fatin Hadni Khairuddin kemudiannya mencadangkan jumlah ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, sementara peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri, memohon jumlah ikat jamin lebih rendah, dengan mengambil kira anak guamnya mempunyai tanggungan enam anak.

“Anak guam saya turut memberi kerjasama yang baik bukan sahaja kepada MCMC, tetapi juga pihak polis. Pihak kami mohon mahkamah untuk mempertimbangkan jaminan yang sedikit rendah memandangkan anak guam saya perlu menanggung enam orang anak dengan kehidupan sekarang yang sukar. Anak keenam anak guam saya juga adalah anak autisme yang memerlukan kos yang tinggi,” ujarnya.

Hakim Ahmad Fuad membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Januari depan.

Sementara itu, Muhammad Rafique ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, tarikh perbicaraan kes anak guamnya ditetapkan pada 27 hingga 30 April depan.

Menurutnya, pihak pembelaan juga difahamkan bahawa pendakwaan akan memanggil beberapa ahli Parlimen bagi memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |