PETALING JAYA – Hadir dengan single ketiga berjudul K-PAP (Kamu Pusing Aku Pening), penyanyi Kamal Hyzail menafikan dakwaan sebilangan pihak dia sengaja menggunakan lirik kasar atau berbaur lucah dalam lagu.
Kamal atau nama sebenarnya, Mohd. Kamal Haizail Kasim berkata, karya tersebut mengangkat realiti yang sering berlaku dalam kehidupan dalam masyarakat.
“Saya bukan sengaja cari publisiti murahan dengan menggunakan lirik kasar atau berbaur lucah dalam lagu. Saya hanya tampilkan perkara sebenar.
“Lagu ini dikategorikan sebagai koplo pop rock, menampilkan gabungan rentak rancak dan elemen budaya yang unik. Mungkin mesej lagu ini kedengaran lantang dan agak keras.
“Tapi realitinya memang ada digunakan dalam kehidupan kita terutamanya apabila membabitkan emosi yang tak terkawal. Ia tidak mengira sempadan negara,” katanya.
Sinonim dengan karya bernuansa rock, Kamal berkata, genre terbabit bukan tertumpu kepada satu elemen sahaja yang kedengaran keras.
“Dahulunya saya keluarkan single Menanti berkonsep slow rock dan Koyak Ker berentak fast rock. Untuk kali ini saya tampilkan identiti muzik yang lebih segar dan berbeza,” katanya.
Lagu K-PAP ciptaan Jahad dan lirik oleh J.Looi dan Kamal sendiri, mengetengahkan isu perbezaan Bahasa Malaysia–Indonesia yang objek atau tujuannya sama, tetapi sebutannya berbeza.
“Ceritanya berkisarkan seorang penjual coli wanita yang berkongsi pengalaman mengenai perbezaan bahasa antara Malaysia dan Indonesia yang boleh menimbulkan salah faham.
“Ayat atau perkataan yang sama adakalanya membawa maksud berbeza. Kadangkala kita rasa sopan di negara kita, tapi mungkin tidak bagi orang Indonesia.
“Itulah yang dimaksudkan. Saya cuba ambil pendekatan satira dan humor bagi memperlihatkan sisi budaya yang jarang diketengahkan dalam karya muzik tempatan,” katanya.
Kamal turut menampilkan Farouk Hussain sebagai pelakon muzik video dan anak penyanyi Amy Mastura iaitu Adalia sebagai penari di dalamnya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1



















![[VIDEO] ‘Sedihnya…Tok Wan Jagung Gurun dah tinggalkan kita’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/tok-wan-jagung.jpeg)





























