Vape RM16 juta dirampas di gudang Padang Besar

1 hour ago 1

ALOR SETAR – Sebanyak 719,250 peranti dan cecair vape dianggarkan bernilai RM16.07 juta termasuk duti serta cukai dirampas dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan di Kawasan Industri Padang Besar, Perlis, Oktober lalu.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai Kastam Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam hasil maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan menemui 211,050 peranti dan 508,200 cecair vape yang disyaki tidak berkastam di dalam gudang di Padang Besar.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang merupakan penjaga gudang tersebut dan dia dibebaskan dengan jaminan,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati individu yang disyaki itu gagal mengemukakan permit import sah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi semua peranti dan cecair vape berkenaan.

“Cecair vape adalah barang kawalan import yang tertakluk di bawah Bahagian 1, Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan kelulusan KKM sebelum boleh dibawa masuk ke dalam negara,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat pemilik sebenar peranti dan cecair vape tersebut.

“Barangan ini dipercayai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan modus operandi adalah dengan mengikrarkannya secara tidak betul daripada segi kuantiti.

“Peranti dan cecair vape dari China itu kemudian dipindahkan dari KLIA ke gudang di Padang Besar. Kita masih menyiasat sama ada barangan tersebut 100 peratus untuk pasaran tempatan atau diseludup ke negara jiran,” jelasnya.

Katanya, ia merupakan rampasan peranti dan cecair vape terbesar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah dalam tempoh tiga tahun.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengelak pembayaran duti dan cukai secara fraud serta melanggar peraturan import.

“Kastam akan terus mempertingkatkan pemantauan dan kawalan di semua pintu masuk dan keluar negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan larangan dan berduti tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |