KUALA LUMPUR – Kerajaan mempergiat pelaksanaan pelbagai dasar dan pelan pembangunan bandar bagi menangani kesan sosial akibat urbanisasi pesat di Wilayah Persekutuan, termasuk peningkatan kos sara hidup, persaingan perumahan dan tekanan akses kepada kemudahan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu dipacu melalui kerangka utama seperti Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), konsep CHASE City, Kota MADANI, serta pelaksanaan Dasar RE_NEW dan Tabung Endowment Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, tekanan urbanisasi paling ketara berlaku di Kuala Lumpur yang dijangka mencapai tahap kemuncak penduduk pada 2031, 28 tahun lebih awal berbanding purata nasional.
“Keadaan itu mendorong kerajaan mempercepat penyediaan perumahan mampu milik, meningkatkan ruang hijau bandar dan memperluaskan peluang ekonomi.
“Kuala Lumpur dijangka menampung 2.35 juta penduduk menjelang 2040, dengan keperluan 762,500 unit kediaman, di mana 40 peratus disasarkan kepada golongan B40 dan sebahagian M40,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Azman Nasrudin (PN-PADANG SERAI) mengenai kesan sosial daripada pembangunan
pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan terhadap masyarakat setempat terutamanya dalam aspek persaingan sosial dan peningkatan kos sara hidup.
Zaliha berkata, selain skim Residensi Wilayah dan Residensi MADANI, lapan tapak baharu Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) turut dikenal pasti untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dapat terus tinggal dan bekerja di ibu negara.
“Bagi memperkukuhkan lagi strategi pemerkasaan ekonomi komuniti, tumpuan Kerajaan ialah meningkatkan pendapatan dan memperluas peluang ekonomi rakyat di Kuala Lumpur.
“Sehubungan itu, PSKL2040 mengunjurkan 1.2 juta peluang pekerjaan di Kuala Lumpur termasuk 120,000 dalam sektor informal, di samping langkah memperluas peluang perniagaan kecil dan mikro melalui penyediaan ruang niaga mampu biaya seperti pop-up, food truck dan food cart, serta
menggalakkan penggunaan semula bangunan sebagai ruang perniagaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 hour ago
1

















































