BALING – Seorang lelaki tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan, Kupang, di sini kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Menurut Zaishamsolazman Che Teh, 41, bapa saudaranya, Zainon Said, 75, dalam keadaan biasa sahaja ketika hendak ke Bazar Ramadan itu bersama menantunya.
“Sekitar pukul 4 petang, bapa saudara hendak ke Bazar Ramadan Taman Seri Harapan, Kupang bersama menantunya tetapi mereka menaiki motosikal berasingan.
“Bapa saudara sampai dahulu di bazar tersebut dan setelah meletakkan motosikalnya di tempat selamat, dia masuk ke bazar. Selang beberapa buah khemah jualan tiba-tiba dia rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, ketika terjatuh itu kepala bapa saudaranya hampir terperosok di bawah dapur meja jualan dan orang ramai segera membantunya dan cuba menyelamatkannya.
“Namun, setelah pihak Kementerian Kesihatan (KKM) tiba, mereka mengesahkan bapa saudara telah meninggal dunia.
“Bapa saudara memang menghidap penyakit jantung dan keadaan kesihatannya tidak begitu baik sejak beberapa hari ini, namun dia tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubudiyah, Kampung Asam Jawa malam ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mohd Azmi Mokhtar berkata, mangsa dikenali sebagai Zainon Said, 75, dari Kampung Banggol Asam Jawa, Pulai, meninggal dunia sekitar pukul 4.30 petang ketika berada di bazar Ramadan tersebut.
“Hasil siasatan mendapati arwah tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, saksi-saksi yang berada di tempat kejadian cuba memberi bantuan tetapi seperti tiada tindakb alas lalu menghubungi pihak Klinik Kesihatan Kupang untuk meminta bantuan.
“Sebaik ambulans sampai, petugas mengesahkan bapa saudara telah meninggal dunia,” ujarnya.
Tambahnya, arwah menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan mendapat rawatan di Klinik Parit Panjang Kupang.
“Pada hujung tahun 2024 arwah pernah di masukkan ke ICU Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar kerana penyakit pendarahan usus yang serius serta ditahan di wad selama seminggu,” katanya.
Katanya lagi, siasatan seterusnya mendapati tiada apa-apa unsur jenayah di tempat kejadian dan kematiannya disebabkan oleh penyakit kronik yang dihidapinya. – KOSMO! ONLINE