MELAKA – Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun dicekup berkhalwat dengan janda berusia 49 tahun dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah (OCJS) sempena ambang Hari Kebangsaan, di sebuah hotel di sini, kelmarin.
Pasangan itu antara 16 individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi yang dilakukan pada pukul 12.30 tengah malam sehingga 5 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, warga emas yang juga duda berasal dari Segamat, Johor mendakwa telah datang ke Melaka untuk menziarahi ibu wanita terbabit.
Katanya, mereka kemudian telah ke pusat bandar untuk menyaksikan pertunjukan bunga api sempena ambang Hari Kebangsaan sebelum mendaftar masuk hotel berkenaan dengan alasan ingin berehat.
“Mereka juga merancang untuk menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan pada keesokannya.
“Ketika dicekup, warga emas berkenaan merayu agar JAIM tidak ambil tindakan kerana malu jika diketahui oleh anak-anak yang telah dewasa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, pasangan itu bagaimanapun ditahan dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa ikatan sah.
Mengulas lanjut beliau berkata, pasangan lain yang ditahan termasuklah individu yang bekerja sebagai pegawai ladang, kerani syarikat swasta, pembantu kedai perabot, operator pengeluaran kilang dan tukang cuci.
“Ada juga pasangan warga Indonesia yang ditahan selepas mereka mengakui menginap di hotel untuk melepaskan rindu bersama.
“Lelaki itu berusia 25 tahun, manakala kekasihnya 27 tahun dan mereka memberi alasan jarang dapat berjumpa kerana masing-masing bekerja di Muar serta Batu Berendam, dekat sini,” ujarnya.
Katanya, jika sabit kesalahan mereka yang ditahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE