PETALING JAYA – Orang ramai terngiang-ngiang dengan kelunakan suara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyanyikan lagu Malaysia Madani Rakyat Disantuni pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya hari ini.
Menerusi maklum balas pengguna media sosial di TikTok, mereka merasakan lagu tersebut ‘berhantu’ apabila disampaikan oleh Biduanita Negara, malah sering terngiang-ngiang suara beliau sehingga terikut-ikut menyanyi.
“Bila Siti yang nyanyi, auto terikut-ikut lah pula,” kata pengguna TikTok Anishashreen meninggalkan komen pada satu hantaran.
“Waktu jemur kain, boleh pula nyanyi lagu Siti,” komen pengguna TikTok NoName.
“Lagu ni biasa saja, tapi bila Siti yang nyanyi, dia bunyi sedap. Lagu apa sekali pun, Tok Ti yang nyanyi auto jadi sedap,” ujar Eidy9363.
“Lagu sedap dah sebab penyanyi Siti Nurhaliza. Siapa lah tak tertawan dengar,” komen Hanya Untuk Melati.
Lagu Malaysia Madani Rakyat Disantuni adalah ciptaan Affan Mazlan mengangkat tema kasih sayang, kebersamaan dan nasionalisme, selari dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan integriti, keadilan sosial dan perpaduan.
Lirik lagu berkenaan menyentuh tentang perpaduan bangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan yang bersatu hati demi negara tercinta.
Ia diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia selaku Pengerusi Jawatankuasa Media dan Publisiti Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, serta menjadi latar semangat bagi pelbagai program kemerdekaan di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
@radiotelevisyenmalaysia Nyanyian lagu tema rasmi, Malaysia MADANI Rakyat Disantuni oleh biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini ✨ @Siti Nurhaliza #SambutanHariKebangsaan2025 #HKHM2025 #RancakkanMADANI #MalaysiaMADANI ♬ original sound – RTM Malaysia Official