[VIDEO] ‘Hari Isnin mesti sejam beratur nak naik tren’

7 hours ago 6

PETALING JAYA – “Hari Isnin mesti sejam beratur nak naik tren” antara keluhan pengguna media sosial berhubung kesesakan yang berlaku di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) pada pagi ini.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai @fatima_dawoodgh mendakwa barisan penumpang di stesen bagi Laluan Kelana Jaya terlalu panjang, ditambah pula dengan tren yang tiba dalam keadaan sudah dipenuhi penumpang.

“Mangsa Laluan Kelana Jaya. Barisan sangat panjang dan kemuncaknya apabila tren yang tiba sudah penuh,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @amilinsifs meluahkan rasa kecewa selepas terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum mendapati berlaku masalah tren.

“Serius? Hampir 20 minit menunggu! Akhirnya ada masalah tren. Isnin yang teruk. Patut ambil cuti sakit,” katanya.

Sementara itu, @irfanfaridd mempersoalkan kesesakan di Stesen LRT Putra Heights seawal pukul 7.50 pagi.

“Penatlah, pukul 7.50 pagi sudah macam ini. Perlukah bergerak pukul 6.30 pagi baru keadaan lebih baik?” katanya.

Dalam pada itu, pengguna @shakila_zulkifli pula meminta supaya sebuah tren kosong dihantar ke Stesen LRT Sri Rampai bagi menampung jumlah penumpang yang semakin ramai.

“Hantarkan sebuah tren kosong ke LRT Sri Rampai, tolong,” katanya.

Perkongsian berkenaan mendapat perhatian pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman berdepan kesesakan dan kelewatan ketika menggunakan perkhidmatan LRT, khususnya pada waktu puncak pagi.

Keadaan itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna mengenai keupayaan perkhidmatan pengangkutan awam menampung jumlah penumpang yang meningkat pada waktu puncak, terutama pada hari bekerja.

“Waktu puncak dan waktu biasa, sama ka junlah tren? Setiap kali pagi lagi-lagi Isnin memang beratur panjang gila, sampai sejam baru nak ada tren yang boleh masuk, itu pun sudah sardin. Pelik laa… ke hari Isnin tren tak banyak, sebab hari biasa selalu okey la sikit,” soal @MDShahirah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |