MELAKA – Seorang lelaki yang sebelum ini tular dan diberkas polis selepas dipercayai mencuri telefon bimbit milik wanita sebelum berpura-pura membantu mencari dan meminta ‘duit kopi’ sebanyak RM200 dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhhamad Nazirul Jasmi, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan peras ugut berkenaan pada awal bulan ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan tujuan hendak melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 36 tahun dengan meminta RM200 untuk mendapatkan semula telefon bimbitnya.
Perbuatan itu dilakukan di tepi Sungai Melaka, Kampung Morten di sini kira-kira pukul 7.15 malam 1 September 2026.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama adiknya ketika kejadian mendapati telefon bimbitnya jenis iPhone 17 Pro Max miliknya hilang sebelum tertuduh mendekatinya memaklumkan rakannya sedang mengejar individu yang mengambil telefon bimbitnya itu.
Tertuduh kemudian telah menyerahkan telefon bimbit mangsa dan meminta duit kopi RM200 sebelum menurunkannya kepada RM50.
Mangsa yang ketakutan dan curiga enggan memberikan wang sebaliknya kerana mahu membuat laporan polis namun tertuduh enggan memberikan nombor telefonnya sebaliknya meminta RM10 atau RM20.
Terdahulu Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tindakan tertuduh telah mendatangkan ketakutan kepada mangsa di kawasan tumpuan pelancong itu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan dia perlu menanggung emaknya.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap iaitu pada 3 September lalu.
Kosmo! sebelum ini turut melaporkan tertuduh diberkas selepas polis berjaya mengesan mangsa menerusi hantaran tular di laman sosial Threads.
Berdasarkan rakaman dimuat naik mangsa, suspek dipercayai telah mengambil telefon bimbit wanita terbabit sebelum berpura-pura membantu mencarinya dan meminta ‘duit kopi’ RM200 selepas kononnya berjaya ditemuinya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3










![[VIDEO] ‘Hari Isnin mesti sejam beratur nak naik tren’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-07-at-10.01.00-AM.jpeg)





































