KUALA LUMPUR – Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 melabuhkan tirai dengan pencapaian luar biasa apabila 45 rekod berjaya dipecahkan termasuk dua Rekod Kebangsaan, namun cabaran lebih besar kini menanti sebahagian atlet yang bakal membawa cabaran negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, pencapaian pada SUKIPT membuktikan institusi pendidikan tinggi (IPT) mempunyai potensi besar melahirkan atlet berprestasi tinggi, selain menjadi platform penting dalam pembangunan sukan negara.
“SUKIPT 2026 membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi negara memiliki potensi besar melahirkan atlet berprestasi tinggi. SUKIPT Edisi Ketujuh, telah mencatat sejarah dengan memecahkan 2 rekod kebangsaan dalam acara kayak dan menembak.
“Selain 38 rekod kejohanan merentasi acara olahraga, renang dan memanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), hari ini.
Temasya edisi ketujuh yang berlangsung sejak 28 Ogos itu menghimpunkan 64 kontinjen membabitkan 8,244 atlet yang bertanding dalam 30 jenis sukan di tujuh lokasi sekitar Kuala Lumpur, dengan keseluruhan 227 pingat emas, 227 perak dan 271 gangsa dipertandingkan.
Dua Rekod Kebangsaan yang dicatat menerusi acara Kayak TK1 200 meter wanita dan Menembak 10 meter Air Rifle lelaki turut membolehkan atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli serta pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima insentif tunai RM20,000 setiap satu.
Menurut Adam Adli, pencapaian tersebut hadir ketika sebahagian atlet yang bertanding dalam SUKIPT turut mengharungi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, menyebabkan mereka belum sempat menjalani proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali beraksi.
“Ramai juga atlet yang terlibat dalam SUKIPT ini turut terbabit dengan SUKMA, jadi mereka belum sempat pulih sepenuhnya tetapi sudah pun bersaing.
“Bagaimanapun, mereka tetap menunjukkan prestasi terbaik. Jadi, kita harap perkara yang sama dapat kita lihat dalam AUG dan ia akan menjadi satu medan yang sangat menarik untuk disaksikan,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau dan memberikan sokongan terhadap persiapan atlet negara menjelang AUG 2026 yang bakal berlangsung di Malaysia dalam tempoh 93 hari lagi.
Sementara itu, Adam Adli berkata KPT belum menetapkan sasaran pingat secara terperinci untuk AUG 2026, sebaliknya tumpuan ketika ini adalah memastikan atlet mendapat persiapan terbaik selain Malaysia mampu menganjurkan temasya itu dengan lancar.
Beliau turut menegaskan tanggungjawab utama Malaysia adalah memastikan AUG 2026 berjalan lancar, selain mempertahankan reputasi negara sebagai penganjur temasya berkenaan, sekali gus menjadikan kejayaan SUKIPT 2026 sebagai suntikan awal menuju pentas lebih besar. KOSMO! ONLINE

4 hours ago
5



















![[VIDEO] Kelibat ibu, anak harimau kumbang bersantai di Hutan Simpan Berembun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-17.03.08-e1788599776815.jpeg)




























