PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mula sesak petang ini apabila orang ramai mula pulang ke ibu negara menjelang berakhirnya cuti persekolahan.
Berdasarkan laporan Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat pukul 5 petang, trafik arah barat dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Bentong menuju Bukit Tinggi.
Kesesakan turut berlaku sepanjang 5.4 kilometer menghampiri Plaza Tol Gombak, iaitu laluan utama pengguna dari Pantai Timur memasuki Lembah Klang.
Keadaan itu berlaku ketika orang ramai dijangka mengambil kesempatan pada hari terakhir cuti persekolahan untuk kembali ke kediaman masing-masing sebelum sesi persekolahan kembali bersambung esok.
Selain itu, trafik di KLK dari Temerloh ke Lanchang turut dilaporkan perlahan susulan pelaksanaan projek tebatan banjir.
Dalam pada itu, peningkatan jumlah kenderaan turut dikesan di beberapa laluan utama Lebuh Raya Utara-Selatan.
Bagi E1 arah selatan, trafik bergerak perlahan dari Seberang Jaya ke Juru, Alor Pongsu ke Taiping, Terowong Menora ke Meru, Gopeng ke Tapah serta Bidor ke Trolak.
Arah utara pula sesak dari Taiping Utara ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol susulan kemalangan di Kilometer (KM) 196.3 yang menyebabkan lorong kecemasan dan lorong kiri terhalang.
Di E2 PLUS, trafik arah utara perlahan dari Simpang Renggam ke Machap, Pedas Linggi ke Seremban, Bandar Ainsdale ke R&R Seremban, Southville ke Kajang serta selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju pusat bandar raya.
Kemalangan di KM70.8 antara Simpang Renggam dan Machap turut menyebabkan lorong kecemasan terhalang.
Bagi arah selatan pula, trafik perlahan dari Serdang ke Nilai, Ayer Keroh ke Jasin, Yong Peng ke Machap serta Simpang Renggam ke Kulai.
Sebuah bas rosak di KM54.8 turut menyebabkan lorong kecemasan dan separuh lorong kiri terhalang di laluan Simpang Renggam ke Kulai. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
7



















![[VIDEO] Kelibat ibu, anak harimau kumbang bersantai di Hutan Simpan Berembun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-17.03.08-e1788599776815.jpeg)




























