KUALA LUMPUR – Penantian atlet olahraga HELP University, Daren James Nair A/L Rodney James untuk bergelar Olahragawan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) akhirnya berakhir apabila dia dinobatkan sebagai penerima anugerah berkenaan pada SUKIPT 2026, hari ini.
Lebih manis, pengiktirafan itu hadir selepas Daren sekali lagi mencipta prestasi luar biasa dengan meraih tiga pingat emas dalam acara 10,000 meter, 5,000 meter dan 3,000 meter lari berhalangan, selain memecahkan rekod kejohanan bagi ketiga-tiga acara tersebut.
Kejayaan itu turut melengkapkan satu lagi pencapaian penting buat pelari kebangsaan berkenaan selepas dia terlepas gelaran sama pada penampilan pertamanya di SUKIPT meskipun turut mencatat tiga emas dan tiga rekod kejohanan.
“Jadi saya rasa kali ini rezeki tak pernah salah alamat. Kali ini saya dapat Olahragawan. Saya tidak menyangka, sejujurnya.
“saya dapat berita ini pukul 12:30 tengah hari tadi, kemudian dua jam kemudian saya sudah berada di sini. Ia masih terasa seperti mimpi bagi saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, hari ini.
Pada edisi lalu, Daren mencatat tiga emas dan tiga rekod kejohanan, namun gelaran Olahragawan tidak menjadi miliknya selepas terdapat atlet lain yang memecahkan rekod kebangsaan.
Pengalaman itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pencetus untuk Darren terus memburu pencapaian lebih tinggi dalam kariernya.
Kini, tumpuan pelari berusia 24 tahun itu sudah beralih kepada Sukan Universiti ASEAN (AUG) sebelum meneruskan misi di Sukan SEA 2027, dengan acara 5,000 meter menjadi fokus utamanya.
Dalam perkembangan sama, atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli dinobatkan sebagai Olahragawati SUKIPT 2026 selepas meraih emas kayak TK1 200 meter wanita dengan catatan 56.30 saat.
Catatan berkenaan turut menyaksikan Syahida memecahkan rekod kebangsaan 57.29 saat.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kejayaan UPM muncul juara keseluruhan SUKIPT 2026 membuktikan pembangunan atlet pelajar secara terancang dan berterusan mampu menghasilkan pencapaian membanggakan.
“Kejuaraan keseluruhan SUKIPT 2026 membuktikan bahawa pembangunan atlet pelajar secara terancang dan berterusan mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan.
“Pencapaian ini bukan hanya diukur melalui jumlah pingat, sebaliknya mencerminkan keberkesanan ekosistem sukan UPM yang merangkumi pencarian bakat, latihan sepanjang tahun, sokongan sains sukan dan kebajikan atlet,” katanya.
Menurut Ahmad Farhan, ekosistem berkenaan dipacu menerusi Akademi Sukan UPM serta disokong Pusat Kecemerlangan Sukan bagi olahraga, Pusat Sukan Tumpuan bagi ragbi, memanah dan sepak takraw, selain Projek Larian Bawah 10 Saat.
“Gelaran ini menjadi dorongan untuk kami memperkasakan lagi pembangunan atlet pelajar demi universiti dan negara,” katanya. KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6



















![[VIDEO] Kelibat ibu, anak harimau kumbang bersantai di Hutan Simpan Berembun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-17.03.08-e1788599776815.jpeg)




























