Pelancong dikecam tindas pemandu Grab

3 hours ago 7

PETALING JAYA – Seorang pelancong mendakwa diugut seorang pemandu e-hailing selepas lelaki itu berpatah balik untuk memulangkan kamera miliknya yang tertinggal di dalam kenderaan.

Menerusi perkongsian lelaki itu di Facebook, pelancong berkenaan berkata dia menyedari kamera bersama lens miliknya bernilai kira-kira AS$5,500 (RM23,000) tertinggal sejurus keluar dari kenderaan sebelum cuba menghubungi pemandu berkenaan beberapa kali.

Katanya, pemandu akhirnya menjawab panggilannya dan bersetuju untuk berpatah balik bagi memulangkan kamera berkenaan dengan caj tambahan.

Bagaimanapun, apabila pemandu tiba dan memulangkan kamera tersebut, pelancong itu dilihat hanya membayar RM20 kerana beranggapan jumlah berkenaan sudah memadai.

“Saya cuba menghubungi dua ke tiga kali sebelum dia menjawab dan memberitahu saya bahawa dia akan memulangkan kamera itu dengan bayaran tertentu.

“Apabila dia tiba, saya menawarkannya RM20 daripada mata wang tempatan tetapi dia menuntut saya membayarnya RM50. Sebagai konteks, purata bayaran yang adil untuk tunggangan adalah sekitar RM13 jadi saya fikir saya bersikap adil,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia juga pernah menggunakan perkhidmatan itu yang melebihi sejam dan ia tidak melebihi RM50, membuatkan dia berasa pemandu berkenaan cuba memperdaya dirinya.

Namun, perkongsian itu mengundang reaksi berbeza dalam kalangan netizen apabila ramai pula mengecam tindakan pelancong terbabit yang hanya membayar RM20 selepas kameranya yang bernilai puluhan ribu ringgit berjaya diperoleh semula.

Seorang pengguna, Juliana berkata, pelancong itu sepatutnya membayar RM50 kepada pemandu berkenaan sebagai tanda penghargaan kerana sanggup berpatah balik untuk memulangkan barangnya.

“Kamu boleh bayar RM50 untuk upah gunting rambut, tapi kamu tak boleh bayar RM50 kepada pemandu yang sudah pulangkan kamera kamu,” katanya.

“Sebenarnya RM50 Itu tak banyak dibandingkan dengan harga kamera dan tanda penghargaan. Kos dia berpatah balik, patutlah dia marah,” kata Suzana.

“AS$12 saja untuk elak drama dan berterima kasih sebab pulangkan kamera itu. Dia boleh pergi saja dan jual kamera awak,” kata Kashii. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |