KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja lelaki negara bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Bangladesh 4-2 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Remaja Asia 2026, namun kemenangan itu belum cukup untuk anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin apabila Pakistan menanti sebagai ujian penting untuk memburu tiket ke separuh akhir.
Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-21 sebelum Shelston Silverius menggandakan kelebihan dua minit kemudian, namun Bangladesh bangkit menyamakan kedudukan menerusi Md Abdullah pada minit ke-24 dan Hassan Mahadey pada minit ke-33.
Young Tigers bagaimanapun kembali menemui rentak pada babak kedua apabila Shafiq Ammar Fahmi Suzaini meledak dua gol menerusi jaringan padang pada minit ke-48 dan ke-51 untuk memastikan kemenangan 4-2, sekali gus meneruskan momentum selepas turut memenangi aksi pembukaan.
Nor Saiful mengakui Bangladesh tampil lebih baik berbanding aksi pertama, namun beberapa kesilapan terutama ketika melakukan penyudah menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk mencatat kemenangan dengan margin lebih besar.
“Pasukan hari ini bermain lebih baik berbanding semalam, iaitu perlawanan pertama. Tetapi kita juga banyak melakukan kesilapan, terutama di depan gol apabila banyak mensia-siakan peluang.
“Bagaimanapun, perkara positifnya ialah kita meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan, kita perbaiki permainan dan berjaya menjaringkan empat gol. Sebenarnya, kita masih terlepas beberapa peluang,” katanya.
Nor Saiful turut memuji disiplin pemain dalam menyekat serangan balas Bangladesh, namun mengakui Pakistan mempunyai kekuatan tersendiri dan memerlukan persediaan taktikal lebih rapi daripada pasukannya.
“Untuk persediaan perlawanan seterusnya, kita perlu lihat bagaimana Pakistan bermain. Mereka adalah pasukan yang bagus dan cukup kuat untuk kita, jadi kita perlu tahu bagaimana untuk bermain secara taktikal menentang Pakistan,” katanya.
Menurutnya, kemampuan Young Tigers menutup kekuatan utama Pakistan bakal menjadi kunci sekiranya Malaysia mahu meneruskan momentum, dengan kemenangan ke atas Pakistan atau China dilihat penting untuk memastikan impian mara ke separuh akhir kekal terbuka.
“Kita bukan sahaja mahu memastikan kita pergi ke separuh akhir, tetapi antara China dan Pakistan, kita perlu menang. Itu antara sasaran kita untuk Piala Asia ini,” katanya.
Sementara itu, nasib berbeza dialami skuad wanita remaja negara apabila Young Tigress dibelasah India 11-1 dalam aksi kedua Kumpulan Elit, sekali gus mencatat dua kekalahan selepas sebelum ini tewas 1-6 kepada China, dengan jumlah 17 gol dibolosi dalam dua perlawanan. KOSMO! ONLINE

4 hours ago
6



















![[VIDEO] Kelibat ibu, anak harimau kumbang bersantai di Hutan Simpan Berembun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-05-at-17.03.08-e1788599776815.jpeg)




























