Manmohan siswa UMS duta solidariti belia

6 hours ago 7

BERPELUANG menyertai South Korea International Summer Summit (SKISS) 2026 dan Youth Forum di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini memberikan pengalaman cukup berharga bagi Manmohan Nathan, 24, apabila dia juga dilantik sebagai Global Ambassador of Youth Solidarity for One Korea 2026.

Program yang berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos lalu menghimpunkan 50 delegasi dari pelbagai negara termasuk India, Indonesia, Korea Selatan, Korea Utara, Argentina, Jerman, Filipina, Australia dan Rusia.

Sepanjang program tersebut, Manmohan juga menerima beberapa pengiktirafan seperti SDGs Inspiring Leader Awards 2026, Youth Leader Outstanding Award, Top 30 Academic Presenter in Peace and Innovation dan Top 30 Best Delegates.

Menurut Manmohan, dia berasa sangat teruja kerana berpeluang membawa perspektif Malaysia pada program itu dan pada masa sama belajar daripada anak-anak muda dari pelbagai latar belakang serta negara yang berbeza.

“Penglibatan saya dalam platform antarabangsa bukan kali pertama kerana sebelum ini pernah mewakili Malaysia dalam Universal Youth Leadership Summit di Maldives pada 2025, Youth Dialogue Forum di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada 2025 serta Youth World Summit di Paris, Perancis pada Jun lalu.

“Pengalaman menyertai program-program ini memberi peluang kepada saya untuk berinteraksi dengan belia dari pelbagai negara, bertukar pandangan tentang isu semasa serta memahami perspektif global berkaitan kepimpinan, pembangunan belia dan kerjasama antarabangsa,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian, di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) itu kepada K-Kampus.

Tambah Manmohan, dia turut terlibat sebagai sukarelawan dalam Youth SDG Summit Kuala Lumpur 2026 yang memberi peluang kepadanya untuk memahami dengan lebih mendalam isu pembangunan belia, kelestarian dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Manmohan seorang yang cukup aktif dalam aktiviti kepimpinan, kesukarelawanan, pembangunan belia dan kemahiran profesional termasuk di universiti.

DI universiti, dirinya pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan termasuk sebagai Presiden Kelab Gerakan Pengguna Siswa Kampus Antarabangsa Labuan (GPSKAL) dan pernah terlibat dalam Sekretariat Rakan Muda UMSKAL.

“Dalam bidang kesukarelawanan pula, saya pernah terlibat dalam beberapa acara seperti Sukarelawan Sukan Antarabangsa, Sukan Sea Kemboja 2023, Perbarisan Hari Kebangsaan, Yayasan Sukarelawan Siswa: Sabah Mission 2024 dan pegawai perhubungan untuk delegasi antarabangsa, termasuk sukarelawan untuk pasukan Vietnam dalam e-sukan.

ONE Korea Youth Forum yang disertai Manmohan membincangkan isu Korea Utara dan Korea Selatan serta bagaimana usaha menyatukan kedua-dua negara membentuk Korea bersatu.

“Pengalaman dalam pelbagai program ini banyak mengajar saya tentang komunikasi, pengurusan program, kerja berpasukan dan interaksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang,” tuturnya yang juga menggalas tugas sebagai pegawai media untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bina Malaysia.

Justeru, tidak hairanlah anak kelahiran Pasir Gudang, Johor itu menerima pelbagai pengiktirafan dalam bidang akademik, kepimpinan, belia dan inovasi di negara ini.

Antaranya Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025 (tempat ketiga), Anugerah Rakan Muda Perdana Belia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2024 (Anugerah Perak), Youth Invention and Innovation Fest UTHM 2022 (pingat perak) selain menerima biasiswa penuh pengajian ijazah sarjana muda daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Bercerita lanjut mengenai penyertaan dalam South Korea International Summer Summit atau SKISS 2026 itu, ManMohan memberitahu, antara syarat pemilihan adalah belia mempunyai profil yang kukuh dalam kepimpinan, kesukarelawanan dan bersedia membawa nama negara ke platform antarabangsa.

“Bagi program ini, saya sanggup mengeluarkan duit poket sendiri kira-kira RM5,000 bagi menampung segala perbelanjaan di sana selama tiga hari termasuk penerbangan, penginapan, makanan dan perbelanjaan berkaitan program.

“Untuk makluman, terdapat banyak platform belia antarabangsa seperti summit, forum dan dialog belia, setiap program mempunyai bentuk pembiayaan yang berbeza.

“Ada program yang menawarkan pembiayaan penuh, separuh dan dibayar sendiri,” terangnya.

Bercerita lanjut mengenai program terbaharu disertainya di Korea Selatan itu, Manmohan berkata, program itu memberinya pengalaman yang sangat bermakna kerana dia bukan sahaja mengikuti sesi persidangan atau mendengar ceramah tetapi turut berpeluang mempelajari budaya dan makanan tradisional orang Korea.

“Pada hari pertama, kami berpeluang mengunjungi Kimchi School untuk melihat cara makanan tradisional Korea dihasilkan seperti pembuatan rumpai laut dalam pelbagai perisa dan gimbap. Pada sebelah petang, kami berjalan-jalan di Myeongdong untuk menikmati makanan Korea serta membeli-belah.

“Hari kedua pula, kami menghadiri One Korea Youth Forum. Sesi forum tersebut membincangkan isu Korea Utara dan Korea Selatan, termasuk bagaimana Sustainable Development Goals (SDGs) dapat membantu menyatukan kedua-dua negara untuk membentuk sebuah Korea yang bersatu.

“Kumpulan kami diberikan SDG 8 iaitu Kerja yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Selain itu, Manmohan berkata, menerusi sesi forum tersebut juga dia dapat mendalami tentang kepentingan peluang pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi dalam membangunkan masyarakat serta menyokong keamanan.

“Selepas sesi forum, terdapat sesi ceramah dan saya berpeluang menyampaikan ucapan selama satu minit tentang projek tahun akhir yang sedang saya usahakan.

“Pengalaman ini membantu saya meningkatkan keyakinan diri untuk berkongsi idea di hadapan peserta dari pelbagai negara. Selain aktiviti rasmi, interaksi bersama delegasi antarabangsa juga menjadi pengalaman yang cukup berharga bagi saya.

“Daripada perbualan santai sehinggalah kepada perbincangan mengenai isu global, saya belajar bahawa walaupun kita datang dari negara yang berbeza, anak muda sebenarnya mempunyai banyak aspirasi dan cabaran yang hampir sama,” ujarnya.

Terang Manmohan, sebagai Global Ambassador of Youth Solidarity for One Korea, dia menggalas amanah besar untuk membawa mesej solidariti, keamanan dan penglibatan belia kepada lebih ramai anak muda.

Sebelum ini, anak muda serba boleh itu juga pernah dilantik untuk menjadi duta seperti duta Kampus Maybank pada 2004 dan 2005, duta graduan 2025 serta duta Blackbox AI Mavericks 2024.

“Saya melihat semua pengiktirafan ini sebagai satu perjalanan yang berterusan. Setiap satu memberikan saya pengalaman dan keyakinan yang berbeza untuk terus mencuba perkara baharu.

“Pada masa hadapan saya mahu terus melibatkan diri dalam pembangunan belia, kepimpinan dan platform antarabangsa.Saya juga mahu menggalakkan lebih ramai anak muda di Malaysia untuk berani menyertai program antarabangsa seperti summit, forum, dialog dan pertukaran belia,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |