PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk yang juga bekas Pengarah Besar sebuah badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung penjualan tanah milik badan berkenaan.
Kedua-dua lelaki masing-masing berusia lingkungan 60-an dan 50-an itu turut disyaki terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pelantikan sebuah syarikat pemaju bagi satu projek di Kuala Lumpur.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi selepas hadir untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Siasatan dipercayai turut menjurus kepada urusan penjualan tanah milik badan berkanun terbabit kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju berkenaan.
Difahamkan, urusan penjualan tanah itu dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah badan berkanun terbabit dan anak syarikatnya.
Kedua-dua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan.
Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, SPRM pada 2 September lalu dilaporkan membuka enam kertas siasatan baharu berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).
Siasatan menerusi Ops Fella itu dibuat susulan maklumat diterima SPRM pada 24 Ogos lalu berkaitan pelaksanaan projek dan pelaburan oleh pengurusan Felda serta FIC antara 2010 hingga 2020.
Antara enam perkara yang menjadi fokus siasatan ialah dakwaan penyelewengan dalam pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.- KOSMO! ONLINE

21 hours ago
9











![[VIDEO] ‘Hari Isnin mesti sejam beratur nak naik tren’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-07-at-10.01.00-AM.jpeg)




































