Platform e-dagang disalah guna jual dadah, MCMC diminta bertindak tegas

3 hours ago 3

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan supaya bertindak tegas terhadap penyalahgunaan platform e-dagang dan pasaran dalam talian yang kini dikesan menjadi medium penjualan dadah sintetik di negara ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu amat membimbangkan khususnya apabila platform digital disalahguna menjual bahan terlarang seperti dadah mengandungi campuran Fentanyl yang boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat, terutama golongan muda.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan mesej kepadanya mengenai kebimbangan terhadap gejala berkenaan yang dilihat semakin membimbangkan.

“Tadi saya sentuh mengenai AI, ekonomi digital, tapi masa yang sama kita perlu tingkatkan kesedaran tentang keselamatan dalam talian.

“Perdana Menteri ada menyampaikan satu mesej kepada saya malam tadi mengenai salah satu gejala yang semakin merisaukan di kalangan terutama anak-anak muda.

“Kita sama-sama bergelut dengan masalah ini, iaitu penyalahgunaan platform-platform e-dagang ataupun online marketplace untuk penjualan dadah,” katanya ketika berucap pada Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini.

Katanya, pihaknya sudah mengarahkan MCMC untuk mengadakan pertemuan dengan salah satu platform yang dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan rangkaian itu.

Fahmi berkata, beliau mengakui perkara itu amat merisaukan kerana masalah jualan dadah akhirnya boleh mendatangkan kesan terutama di kawasan luar bandar.

“MCMC perlu mengambil pendekatan adil namun tegas dalam menangani penyalahgunaan platform digital berkenaan.

“Jadi selepas ini, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (Pengerusi MCMC) dan juga pasukan mesti berlaku adil dan pada masa sama bertindak tegas untuk menyediaman rangkaian komunikasi yang selamat.

“Kita hanya dapat kesan jualan dadah yang boleh pergi ke merata tempat, tapi pelbagai masalah lain juga yang sudah pasti akan muncul termasuk masalah scam dan lain-lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |