SHAH ALAM – Semua acara Para Sukan Malaysia (Sukma) Selangor akan dibatalkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200 berikutan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan atlet dan pegawai.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, keputusan itu antara langkah pencegahan yang dipersetujui dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Teknikal Para Sukma yang turut dihadiri Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Menurutnya, antara langkah yang digariskan ialah semua atlet dan pegawai diwajibkan memakai pelitup muka N95 sepanjang berada di luar bangunan atau kenderaan.
“Pendedahan kepada jerebu hendaklah dikurangkan dengan berada di dalam bangunan atau kenderaan tertutup pada waktu tidak bertanding atau ketika berehat.
“Semua acara sukan akan dibatalkan sekiranya IPU mencapai 200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma dan Para Sukma Selangor turut memaklumkan pasukan perubatan setiap kontinjen juga perlu menjalankan saringan kesihatan dan memastikan atlet yang rentan terhadap kesan jerebu tidak dibenarkan bertanding.
Malah katanya, setiap atlet yang bertanding perlu mengisi borang perakuan untuk bertanding dalam keadaan jerebu.
“Atlet yang tidak bertanding tidak dibenarkan berada di venue pertandingan atau di kawasan terbuka,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, mesyuarat ketua-ketua kontinjen Para Sukma Selangor
2026 secara konsensus memutuskan bahawa acara sukan boling padang, memanah, renang dan olahraga diteruskan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dan pemantauan berterusan susulan keadaan jerebu yang melanda Selangor.
Tambahnya, Jawatankuasa Khas Teknikal turut memutuskan bahawa tempoh pertandingan acara olahraga bagi setiap sesi dipendekkan kepada maksimum dua jam membabitkan antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi, 4 petang hingga 6 petang dan 8 malam hingga 10 malam.
“Sementara itu, penyampaian pingat akan diadakan di Dewan Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bermula pada sesi petang hari ini dan dilaksanakan sebaik sahaja sesuatu sesi pertandingan tamat.
“Bacaan IPU kawasan Shah Alam setakat pukul 11 pagi ini mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 169, manakala 161 di Klang,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan jerebu yang semakin memburuk mengakibatkan empat acara Para Sukma Selangor terpaksa ditangguhkan hari ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di daerah ini dan Klang. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3










![[VIDEO] ‘Hari Isnin mesti sejam beratur nak naik tren’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-07-at-10.01.00-AM.jpeg)





































