PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar tidak dapat menahan sebak ketika menzahirkan penghargaan kepada anggota kerja Sabah Regional Control Centre (RCP) yang terus komited memastikan bekalan elektrik disalurkan kepada rakyat meskipun berdepan pelbagai kecaman.
Menerusi satu siaran langsung di media sosial, beliau memuji ketabahan dan semangat petugas-petugas RCP yang tetap bekerja tanpa mengira lelah mahupun tekanan.
“Sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua anggota kerja Sabah RCP yang bekerja tanpa mengira lelah, tanpa menghiraukan segala kutukan dan kritikan ke atas kita.
“Kita abaikan semua itu. Yang penting niat kita untuk bekerja, memastikan dengan daya upaya kita, bekalan elektrik tetap kita sampaikan walau apa pun keadaannya, walau apa pun tohmahan dan kutukan yang diberikan kepada kita,” katanya dengan suara tersekat-sekat menahan sebak.
Terdahulu, hampir 230,000 pengguna di Pantai Timur Sabah terjejas susulan insiden tanah runtuh di Kg. Sarapung, Penampang yang menyebabkan tiang menara SESB tergelincir. Kawasan terlibat termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran.
Pasukan teknikal SESB kini giat menjalankan pemulihan dalam tiga fasa termasuk usaha pintasan bekalan, pemasangan menara kecemasan dalam tempoh lapan hari dan pembinaan menara kekal. – KOSMO! ONLINE
@mycommunitynewssabah Empat hari tanpa tidur, berpanas dan berhujan. Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, akhirnya tidak mampu menahan sebak melihat usaha pasukan berjaya memulihkan bekalan elektrik untuk rakyat. Air mata yang gugur itu adalah saksi pengorbanan barisan hadapan. #Sabahelectricity #mcnsabah #communitynews #Sabah ♬ original sound – MyCommunitynewsSabah