PETALING JAYA – Seorang pesara polis yang menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya semalam hampir tersadung ketika sedang berarak, namun kejadian itu tidak menjejaskan kelancaran perbarisan tersebut.
Rakaman insiden yang dikongsikan pengguna TikTok @asrul.efendi, kelihatan pesara berkenaan hampir hilang keseimbangan ketika melangkah.
Bagaimanapun, warga emas itu segera kembali mengatur langkah dengan tenang sehingga menerima pujian ramai netizen.
“Apa pun pak cik hebat. Dengan umur sedemikian mampu menghadiri Majlis Perarakan Hari Kebangsaan hari ini (semalam),” kata @asrul.efendi.
Menerusi ruangan komen, pesara polis yang mesra dipanggil Rahimi itu tampil memberi penjelasan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Saya pak cik yang dalam video tu. Alhamdulillah tak ada mengalami apa-apa kecederaan dan dapat teruskan sehingga penamat. Terima kasih semua atas keprihatinan dan doanya,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen video sama, anak kepada pesara terbabit memaklumkan punca kejadian bapanya hampir terjatuh adalah disebabkan terlanggar batu kerana permukaan jalan yang kurang rata.
“Ini ayah saya. Ayah bagitahu yang ayah terlanggar batu macam jalan tak rata. Tapi ayah okey sahaja,” kongsi @KAFTANVIRAL.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa kagum dengan semangat pesara tersebut yang tetap bersemangat dan meneruskan perarakan hingga selesai.
“Pak cik memang wira sebenar. Walaupun hampir jatuh, tetap teruskan langkah dengan tabah,” tulis @Aliennn.
“Masalah jalan tak rata.. Terbaik pak cik semangat kemerdekaan tak pernah kalah,” puji @NorezaAurora.
Sambutan Hari Kebangsaan kali ini menyaksikan ribuan peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan masyarakat awam mengambil bahagian dalam perarakan gilang-gemilang di Dataran Putrajaya semalam. – KOSMO! ONLINE
@asrul.efendi APAPUN PAKCIK HEBAT. DENGAN UMUR SEDEMIKIAN MAMPU MENGHADIRI MAJLIS SAMBUTAN PERARAKAN HARI KEBANGSAAN HARI INI #harikebangsaan #merdekamalaysia #malaysia ♬ original sound – maejesticashop