‘Tolong isteri turunkan berat badan, mahu dua bermotivasi’

1 day ago 9

SERING memuji kecantikan isteri secara terbuka membuatkan netizen kurang senang dengan tindakan pelakon Nazrief Nazri sehingga dilabel terlalu menunjuk-nunjuk kebahagiaan.

Sejujurnya, tidak tahu di mana salahnya jika seorang suami memuji permaisuri hatinya iaitu Aizatul Aqma Hamdan yang berusaha keras menjaga penampilan.

Namun, kepahitan tersebut terpaksa ditelan pemilik nama lengkap Mohamad Nazrief Mohamad Nazri sejak kebelakangan ini.

Tidak cepat melatah, Nazrief mengakui pendekatan itu diambil bagi memberi semangat buat isterinya yang berjaya menurunkan berat badan selama hampir tiga tahun.

“Saya bekerja keras. Berat badan isteri saya pernah naik 35 kilogram (kg) selepas mengandung, jadi saya tolong dia turunkan berat badan secara normal.

“Itu salah satu cara saya meraikan kejayaan dia supaya lebih bermotivasi.

“Dia kerja sebagai model jadi saya nak dia kekalkan momentum dengan apa dia buat,” katanya kepada HibGlam.

Bagaimanapun, pelakon berusia 33 tahun itu mengingatkan netizen agar berhati-hati apabila meninggalkan komen walaupun dia berlapang dada apabila dihambur kecaman.

“Sebagai figura awam, saya dah faham sebab setiap gerak geri diperhatikan. Saya dah bersedia dari segi mental.

“Nak komen kena berpada-pada, kami tidak akan duduk diam. Masyarakat tak boleh anggap artis ini patung yang tiada perasaan.

“Ada yang komen teruk sampai ada artis saman-menyaman. Memang kena buat begitu sebab kalau dibiarkan netizen suka hati komen tanpa fikir artis juga perasaan macam manusia lain,” ujarnya lagi.

Tambah zuriat

Selain itu, Nazrief sempat berkongsi perkembangan terkini keluarga tercinta.

Dia dan isteri mengakui belum bersedia menambah zuriat berikutan jadual kerja yang padat.

“Anak nombor dua, kami kena rancang sebab terikat dengan kerja. Saya berlakon, memang tak sempat nak urus anak pergi sekolah.

“Sekarang saya dan isteri sibuk, terpaksa minta tolong mak jagakan. Kerja kami pula memang ambil masa lama.

“Kalau nak tambah nombor dua memang kena fikir panjang,” jelas peserta Hero Remaja 2011/12.

Dalam masa sama, pelakon drama Seribu Tahun itu turut memikirkan isu kewangan sekiranya isterinya hamil anak kedua.

“Isteri bekerja dalam bidang peragaan. Kalau dia mengandung kena fikir sekurang-kurangnya dua tahun tiada pendapatan. 100 peratus bergantung kepada saya.

“Okey saja, tetapi memang kena ada perancangan rapi. Jadi, kami buat keputusan mungkin tambah ahli keluarga sewaktu anak kami berusia lima atau enam tahun kelak,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |