Tiga sekawan dipenjara, didenda RM4,000 curi tabung masjid

2 hours ago 2

SHAH ALAM – Tindakan mencuri tabung masjid membawa padah kepada tiga sekawan apabila masing-masing dipenjara enam bulan dan didenda RM4,000.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menjatuhi hukuman itu selepas K. Tineshuaran, 26; R Nishanraj, 22 dan SR Danesh, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Hukuman penjara itu diperintahkan bermula hari ini. Sekiranya gagal bayar denda boleh dikenakan tambahan penjara dua bulan.

Seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun dibenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan hukuman akan dimuktamadkan selepas laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 28 April.

Keempat-empat tertuduh didakwa bersama-sama mencuri tabung besi kepunyaan Masjid Seksyen 7 tanpa izin yang bernilai RM2,000, kira-kira pukul 4 pagi pada 22 Februari.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar.

Peguam Swinder Singh dan Ashrul Haikal memohon hukuman bagi tiga anak guamnya itu ditangguhkan sebelum mengemukakan rayuan pengurangan hukuman di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah bagaimanapun menolak ekoran tiada keadaan khas untuk tujuan tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kelicikan empat pencuri melarikan tabung Masjid Kristal, Seksyen 7, akhirnya tumpas apabila ditangkap di sekitar Seksyen 13, di sini selain di hadapan Sky Suite KLCC, Arte Subang West serta sebuah pangsapuri di Desa Tanjung, Seri Kembangan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mahu pelaku kes curi tabung masjid dikenakan tindakan tegas dan setimpal berlandaskan undang-undang kerana mencemarkan kesucian rumah Allah dan mengkhianati amanah umat Islam.

Baginda bertitah, kejadian kecurian itu dipandang serius tanpa mengira sesiapa pun dalang di sebaliknya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |