Tiga pemandu bas ekspres dicekup positif dadah

21 hours ago 7

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan tiga pemandu ekspres selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026, tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, dua daripada pemandu bas itu diberkas di Seremban, Negeri Sembilan manakala seorang lagi di Pahang.

Katanya, ketiga-tiga pemandu bas berusia dalam lingkungan 36 hingga 47 tahun itu selepas ujian saringan air kencing dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Pemandu tersebut diperiksa menerusi Operasi Khas sempena Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula 9 Februari lalu.

“Ketiga-tiga lelaki itu merupakan antara 381 pemandu bas ekpres yang menjalani ujian saringan air kencing semasa operasi tersebut dijalankan,” katanya pada sidang akhbar sempena Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh di sini malam tadi.

Jazmanie memberitahu, sehingga semalam, sebanyak 4,242 buah bas diperiksa di depoh dan terminal melibatkan semua jenis bas.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 779 slip pemeriksaan dikeluarkan dan dua buah bas disita selepas didapati tidak mematuhi keperluan keselamatan dan perundangan yang ditetapkan.

“JPJ turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang bas yang merupakan antara strategi penguatkuasaan bagi memantau tahap
pematuhan undang-undang dan aspek keselamatan secara lebih menyeluruh.

“Usaha itu bertujuan memastikan semua
bas ekspres yang beroperasi berada pada selamat, mematuhi piawaian teknikal dan syarat lesen pengendali sepanjang tempoh peningkatan pergerakan orang ramai sempena musim perayaan,” ujarnya.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak 106 tindakan penguatkuasaan telah direkodkan di seluruh negara melibatkan kenderaan barangan.

Katanya, lima negeri yang merekodkan tindakan tertinggi adalah Negeri Sembilan dengan 35 kes, Selangor (16 kes), Pulau Pinang (15 kes), Perak (12 kes) dan Terengganu (sembilan kes). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |